Friday, September 22, 2017

Gara-gara muflis, Lajim gugur sebagai Presiden Harapan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
 
KOTA KINABALU: Datuk Seri Lajim Ukin digugurkan sebagai Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan semua jawatan dalam parti selepas diisytihar muflis.
 
Keputusan itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 14 September lalu, ekoran gagal membayar hutang kenderaan sebanyak RM185,000 dengan CIMB Bank.
 
Kedudukan beliau sebagai ADUN Klias bagaimanapun masih belum ditentukan kerana masih menunggu keputusan rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali.
 
Lajim ketika bercakap kepada pemberita berkata, beliau bagaimanapun telah membayar kesemua hutang tersebut semalam dan telah menerima surat pembatalan muflis daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini, namun mengikut Perlembagaan parti beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan politik.
 
Sehubungan itu katanya, Mesyuarat Majlis Tertinggi Harapan petang ini memutuskan Timbalan Presiden 1 parti, Datuk Maijol Mahap sebagai pemangku Presiden sehingga mesyuarat agung parti pada 26 Oktober depan.
 
“Saya menyatakan bahawa perkara ini tidak seharusnya berlaku. Ini timbul disebabkan hutang kereta dengan CIMB Bank di mana suatu ketika dulu saya telah menjualnya kepada seorang rakan saya.
 
“Mengikut Seksyen 9A Akta Pertubuhan 1966, seseorang yang diisytiharkan muflis akan secara sendirinya berhenti memegang sebarang jawatan dalam persatuan dan parti politik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu.
 
 

No comments: