Thursday, September 7, 2017

Eric tolak cabaran debat Rafizi

 
Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To berkata debat itu hanya cubaan Rafizi Ramli mengalihkan pandangan orang ramai daripada pertelingkahan dalaman pembangkang.


eric-rafizi-3


PETALING JAYA: Timbalan pengarah komunikasi strategik BN hari ini menepis cabaran debat Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai cubaan untuk mengalihkan pandangan orang ramai daripada pertelingkahan dalaman pembangkang.

Ketika menolak cabaran Rafizi itu, Datuk Eric See-To menjelaskan tiada keperluan segera untuk menganjurkan debat itu, malahan juga beliau tidak mahu “mengganggu” Rafizi yang sedang bertelingkah dengan penyokong pembangkang.

“Ajak saya berdebat sekali lagi dalam masa sebulan. Mungkin dalam masa sebulan lagi, pergaduhan dalaman Rafizi itu mungkin akan berakhir atau dia akan tinggalkan parti atau dipecat,” katanya dalam kenyataan, merujuk kepada pertelingkahan Rafizi dengan ahli parti, dan aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan.

Rafizi semalam mencabar Eric berdebat isu pertumbuhan ekonomi negara dan kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Cabaran itu menyusuli hujah Eric yang berkata kutipan cukai pendapatan melepasi pertumbuhan ekonomi negara bukan sesuatu yang luar biasa.

Eric berkata demikian selepas Rafizi mendakwa kutipan cukai pendapatan tumbuh tidak seimbang dengan pertumbuhan ekonomi negara sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri pada 2009.

“Saya menjemput beliau untuk berdebat dengan saya supaya saya boleh melihat sendiri bagaimana pakar pusing dari BN ini ‘menggoreng sotong’ bila berdepan dengan angka-angka ekonomi yang sebenar,” kata Rafizi.

Pada 31 Ogos lalu, Eric mengkritik Rafizi kerana membandingkan purata pertumbuhan kutipan cukai di Malaysia pada 2010 dengan purata pertumbuhan cukai sebanyak 5.3% di Australia bagi tempoh yang sama.

Menurut Eric, Rafizi tidak mendedahkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Australia bagi tempoh tersebut hanya 2.7%, bermakna di negara itu kutipan cukai juga melepasi pertumbuhan ekonomi.

Eric tidak faham mengapa Rafizi menjadikan penurunan kutipan cukai pendapatan perseorangan daripada RM51.3 bilion pada 2012 kepada RM27.6 bilion pada 2016.

“Ini memang menghairankan kerana pertama sekali Rafizi mengadu kutipan cukai pendapatan melepasi pertumbuhan KDNK tetapi sekarang dia mengadu kutipan cukai pendapatan perseorangan turun hampir separuh.”

Eric juga ingin tahu mengapa Rafizi tidak berpuas hati apabila Putrajaya tidak mengutip cukai yang banyak daripada rakyat tetapi dalam masa yang sama mengadu kutipan cukai korporat meningkat 2 kali ganda.

Beliau berkata Rafizi sepatutnya gembira pertumbuhan ekonomi yang baik membawa kepada peningkatan keuntungan dan kutipan cukai korporat yang lebih tinggi selepas kerajaan memotong kadar cukai korporat dari 27% keapda 24% sejak 2007.

“Mungkin Rafizi perlu bertenang, bersabar dan fikirkan betul-betul apa sebenarnya yang beliau tidak berpuas hati sebelum mencabar sesiapa pun berdebat.”

No comments: