Berjabat tangan dengan individu yang paling berkuasa di dunia, tidak kira apa keadaannya, akan menghantar mesej yang kuat ke tanahair bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan, khususnya dalam dakwaan skandal 1MDB.
Atau setidak-tidaknya, itulah bagaimana pertemuan itu akan digambarkan oleh media arus perdana tempatan.
Tetapi pertemuan dengan Trump mungkin tidak seperti bersantai di taman untuk Najib. Mungkin ada duri yang menunggunya di Ros Garden Rumah Putih.
Rose Garden adalah salah satu lokasi di mana presiden Amerika Syarikat mengadakan sidang akhbar apabila pemimpin dunia melawat Pejabat Oval.
Walaupun di tanahair Najib berjaya menghindari media tempatan dan asing yang tidak disenangi, tetapi perdana menteri mungkin tidak mudah untuk mengelakkan pasukan media di Rumah Putih.
Antaranya adalah wartawan dari New York Times, Washington Post, dan Wall Street Journal - semuanya telah menerbitkan artikel yang kritikal terhadap Najib dan dakwaan beliau dikatakan terlibat dalam skandal 1MDB.
Sebagai contoh, The Washington Post telah menerbitkan satu tulisan yang pedas mengenai pertemuan Najib-Trump, manakala lidah pengarang Wall Street Journal memberi amaran kepada presiden AS mengenai risiko bertemu "pemimpin yang tercemar dengan skandal".
Apabila Trump dan Najib mengadakan sidang akhbar bersama selepas pertemuan mereka, wartawan ini mungkin melontarkan soalan-soalan yang tajam kepada pemimpin Malaysia itu.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa sehingga AS$4.5 bilion dana 1MDB telah disalahgunakan.
Tuduhan tersebut termasuk Malaysian Offical 1 (MO1) yang tidak dinamakan, menerima AS$731 juta yang dialihkan dari 1MDB ke dalam akaun bank peribadinya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sejak itu mengakui bahawa MO1 adalah Najib.
Walaupun tindakan DOJ itu bersifat sivil, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menerajui siasatan jenayah terhadap perkara itu.
Ia dispekulasikan bahawa Najib akan menggunakan pertemuannya dengan Trump untuk cuba mengurangkan tekanan daripada DOJ dan FBI.
Tetapi jika soalan mengenai perkara itu ditanya dalam sidang akhbar bersama selepas pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu, ia akan melonjakkan semula isu itu ke perhatian antarabangsa.
Tiada sidang akhbar?
Walau bagaimanapun, Najib mungkin bernasib baik.
Hubungan pasukan media Rumah Putih dengan pentadbiran Trump tidak begitu baik, dengan beberapa organisasi berita Amerika digambarkan oleh presiden sebagai penyebar berita palsu.
Hubungan Setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Huckabee Sanders dengan pihak media Amerika juga tidak mesra.
Ada kemungkinan Sanders memberi peluang kepada wartawan yang difikirkan tidak suka menyoal ssoalan-soalan yang keras kepada Najib atau yang tidak akan bertanya kepada Najib tetapi sebaliknya mengemukakan soalan kepada Trump mengenai isu-isu domestik tertentu.
Terdapat juga kemungkinan tidak akan ada soalan yang dibenarkan dalam sidang akhbar itu.
Ini memecah tradisi, di mana delegasi media tempatan dan asing masing-masing dapat bertanya dua soalan, semasa lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi pada bulan Jun.
Bagaimanapun, langkah sedemikian akan menarik perhatian terhadap Najib, kerana setiap tindakan yang dilihat mengekang pasukan media Rumah Putih, sering dilaporkan di akhbar.
Najib setakat ini tidak secara terbuka menangani dakwaan yang dibangkitkan oleh DOJ yang mengaitkannya.
Beliau telah menafikan sebarang salah guna dana awam untuk kepentingan peribadi, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkannya dari sebarang salah laku yang berkaitan dengan 1MDB.
No comments:
Post a Comment