KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mass Rapid Transit
Corporation (MRT) Sdn Bhd, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid dilantik sebagai
pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang baru,
berkuatkuasa hari ini.
Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Saya yakin dengan pengalaman luas yang dimilikinya, beliau akan dapat
menerajui FGV dengan cemerlang, sekali gus meningkatkan keyakinan
pelabur dan seterusnya dapat diterjemahkan dengan harga saham FGV yang
lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Jawatan Pengerusi FGV sebelum ini dipangku oleh pengerusi Telekom
Malaysia Bhd, Tan Sri Sulaiman Mahbob menggantikan Tan Sri Isa Samad
yang melepaskan jawatannya Jun lalu.
Dalam pada itu Najib berkata sebagai sebuah syarikat tersenarai di
Bursa Malaysia, dengan pegangan majoriti oleh Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (FELDA), kejayaan FGV sangat penting untuk manfaat warga
peneroka.
“Oleh itu selaras dengan kuasa yang diperuntukan di bawah Hak Pemegang
Saham Khas menerusi Artikel (80)1 Memorandum dan Articles of Association
FGV, saya mengumumkan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi
FGV, berkuatkuasa 8 September 2017,” kata Najib.
Azhar pernah berkhidmat sebagai pemangku presiden dan ketua eksekutif
Kumpulan Sime Darby Bhd, ketua pegawai eksekutif Mass Rapid Transit
Corporation Sdn Bhd dan pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.
Beliau juga ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) United Kingdom dan ahli Institut Akauntan Malaysia.
Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Sulaiman yang memangku
jawatan itu sejak 19 Jun lalu atas sumbangan beliau kepada FGV.
Pada 12.20 tengah hari, saham FGV naik satu sen kepada RM1.60.
No comments:
Post a Comment