Oleh Dr Azman Ibrahim
SUDAH tiga tahun saya diamanahkan sebagai Pengarah Operasi Banjir PAS Terengganu. Banyak juga pahit manis yang telah dilalui. Macam-macam lokasi banjir saya dah redah dengan sahabat-sahabat Jentera Operasi Banjir.
Banjir adalah musibah kemanusiaan, bukannya peluang politik. Kita fokus untuk membantu dan meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Berlakunya banjir ini kerana banyak faktor. Ada banjir kilat dan ada banjir bermusim. Faktornya pelbagai. Bukan kita sahaja yang kena banjir, ummat terdahulu pun dah diuji oleh Allah dengan banjir.
Ada ketikanya segala kecanggihan saliran ciptaan manusia tak mampu lagi menampung banyaknya air yang mengalir. Kalau tidak, tak kan Amerika negara yang paling canggih di dunia pun banjir.
Kalau nak kata banjir berlaku kerana sesuatu tempat itu banyak berlaku maksiat, kita jangan lupa bahawa di Kota Mekah pun banjir.
Kalau nak kata banjir di Kelantan adalah kerana hutan yang habis gondol dikerjakan Kerajaan PAS Kelantan, apa pula cerita tragedi banjir yang pernah menenggelamkan Johor dan Perlis? Hutan di sana pun gondol juga ke?
Sebab itu saya sangat tak berminat dan tak berkenan dengan sikap serkap jarang menuduh itu dan ini sebagai punca banjir.
Polemik ini tidak membantu mangsa memulihkan semula kehidupan. Isu yang betul perlu dibincangkan pada masa yang betul.
Bodoh kalau banjir dijadikan medan untuk saling kutuk-mengutuk. Siapa yang kutuk siapa, tak kira siapa pun dia, itu adalah orang bodoh.
Pemimpin Umno Johor kutuk Kelantan sebab banjir itu bodoh! Kalau ada Kelantan kutuk Johor pun bodoh juga. Kalau ada, tapi rasanya tak ada. Malah Kerajaan Kelantan pernah hantar bantuan kepada Kerajaan Johor ketika Johor dilanda banjir besar.
Ketua Menteri Pulau Pinang perlekeh Kelantan masa banjir itu adalah bodoh! Kalau ada MB Kelantan perlekeh bila Pulau Pinang banjir, sila bagitahu. Kalau ada, tapi rasanya tak ada.
Umno Perlis pernah perlekeh Kelantan sebab banjir. Perlis pun pernah tenggelam juga.
Banjir antara bencana alam yang paling lumrah. Negara paling maju di dunia seperti Amerika banjir. Negara mundur di Afrika pun banjir.
Negara yang banyak sungai macam Bangladesh banjir, negara padang pasir seperti Arab Saudi pun banjir. Negara umat Islam banjir, negara kafir banjir, negara komunis pun banjir.
Kawasan hulu banjir, kawasan pantai pun banjir juga. Di bandar banjir, di kampung pedalaman pun banjir.
Negeri PAS perintah banjir, negeri BN banjir dan negeri DAP pun banjir. Cuma bezanya PAS tak pernah rasa malu bila negeri Kelantan banjir sebab kita tak pernah mempermainkan orang lain. Tak pernah mengejek orang lain bila kena banjir. Yang kita buat adalah mengambil langkah sebaik-baiknya untuk membantu mangsa banjir.
Umno dah tak kedengaran mengejek Kelantan. Harap mereka dah insaf bila negeri di bawah Umno juga pernah mengalami nasib sama. Tinggal yang mulut tak ada insurans ialah tokong DAP.
Sebab tu bila Pulau Pinang kena banjir, dia salahkan pihak itu dan ini untuk cover line!
Mulut tu kena jaga baru kita selamat.
Jangan lagi ada orang yang kutuk dan perlekeh orang lain kononnya tak pandai mentadbir sehingga menyebabkan banjir. Kena belaka sikit sorang dengan kehendak Allah.
No comments:
Post a Comment