HUBUNGAN kerjasama serantau ini terbina setelah
sekian lama misi kemanusian dijalankan secara konsisten antara Yayasan
Amal Malaysia (YAM) dan pihak kerajaan dan organisasi dari negara-negara
di benua Afrika seperti Sudan, Uganda, Ethiopia dan Kenya.
Namun misi kali ini perlaksanaan misi kemanusiaan bukan saja menerusi
projek berimpak tinggi Amalqurban di negara-negara tersebut, malah
turut memfokuskan kerjasama serantau antara YAM dan Islmic University in
Uganda (IUIU).
Perbincangan kerjasama serantau ini melibatkan pembentangan kertas
kerja daripada projek berimpak tinggi YAM iaitu Education For Better
Future (E4BF). Pembentangan merangkumi profil korporat YAM, Falsafah
pendidikan YAM dan perkongsian model pembangunan insititusi pendidikan
Human Development Academy (HUDA) dari YAM sendiri yang sedang dilaksana
di Kampus sementara pusat Dakwah Serantau (PDS), Sungai Merab, Bangi,
Selangor sebelum akan berpindah ke kompleks PDS di Labohan Dagang,
Banting, Selangor.
Antara intipati pembentangan falsafah pendidikan antara YAM dan IUIU
adalah, kepentingan pendidikan berteraskan Islam secara holistik dan
adaptasi metodologi pendidikan dan pengajaran (P&P) moden sejak fasa
awal pendidikan kanak-kanak lagi antara usia 4 tahun dan ke atas.
Falsafah pendidikan ini juga disokong dengan model pembangunan
institusi pendidikan HUDA yang mempunyai silibus pendidikan dan latihan
tersendiri. Model pendidikan mencakupi tiga (3) fasa iaitu sijil
pengajian bertempoh, diploma pengajian yang dinamakan 'Transit Dakwah'
dan subjek elektif.
Model pendidikan YAM mempunyai akreditasi tersendiri bagi membentuk
modal insan yang pakar dalam bidang tertentu dan diperkemas dengan
kefahaman Islam yang tulen. Pengakreditasi yang sentiasa diperkemas akan
menjadikan model pendidikan ini lebih komprehensif.
Menerusi kefahaman Islam yang mantap akan melahirkan golongan
cendekiawan yang mempunyai kesedaran dakwah yang tinggi dalam mendepani
masyarakat massa.
Pelajar yang melalui proses pendidikan ini juga akan terlatih dengan
kemahiran elektif seperti pertanian, pertukangan dan softskill mengikut
pilihan mereka sendiri sebagai ilmu pelengkap membentuk jatidiri Muslim
yang berkompetensi tinggi. Namun di peringkat IUIU, mereka telah
mempunyai subjek elektif tersendiri dan mungkin perlunya diwujudkan
keharmonian antara subjek elektif untuk jadikannya lebih efektif.
Pertemuan dan pembentangan ini telah menghasilkan respon yang sangat
positif antara pihak YAM, IUIU dan para penyumbang untuk ketahui dengan
lebih lanjut mengenai perlaksanaan idea ini agar menjadi realiti
secepat mungkin.
Kehadiran ADN Meru juga menyerlahkan suasana ceria dan harmoni antara
ahli parlimen, gabenor wilayah, pimpinan ulama dan pensyarah universiti
semasa kami di Sudan dan Uganda dan Ethiopia apabila beliau boleh
berinteraksi dengan mereka dalam Bahasa Arab tempatan dengan baik.
Di peringkat YAM sendiri, kami optimis untuk meneroka lapangan baru
dalam menyebarluaskan sayap pembangunan kemanusiaan di peringkat
tempatan (Malaysia) dan di luar negara. Kesyumulan Islam akan terus
diangkat untuk memartabatkan lagi masyarakat Islam sedunia. Menerusi
Visi dan Misi YAM, kami percaya dengan doa dan kerjasama semua pihak,
insy-Allah usaha baik ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya
* HUSSIN ISMAIL Presiden Yayasan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment