Sunday, September 17, 2017

Angkara dendam, tujuh remaja bakar pusat tahfiz



asd
Ketua Polis KL menunjukkan antara barang yang dirampas daripada tujuh suspek yang ditahan. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa Khamis lalu berpunca daripada perbuatan khianat.

Perkara itu terbongkar apabila tujuh remaja berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun ditahan polis pada jam enam petang semalam sehingga jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh pada sidang media tadi berkata, kesemua mereka merupakan penduduk yang tinggal di sekitar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Beliau berkata, berdasarkan ujian saringan air kencing terhadap ketujuh-tujuh suspek, enam daripadanya positif dadah.

“Punca perbuatan khianat ini adalah disebabkan perbuatan ejek mengejek antara suspek-suspek dan pelajar pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah,” katanya.

Amar berkata, penangkapan bermula dengan tertangkapnya seorang suspek yang imejnya diperoleh daripada CCTV yang diperoleh daripada PPIM yang terletak bersebelahan tahfiz.

“Suspek mengakui mereka telah membeli minyak petrol daripada stesen minyak berdekatan dan mengangkut dua tong gas dari tingkat bawah ke tingkat tiga bangunan pusat tahfiz sebelum membakarnya,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek telah dibawa ke mahkamah hari ini dan akan direman sehingga 22 September ini.

Katanya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 sebab khianat menggunakan api.

“Motif mereka adalah untuk membakar, sebab usia mereka dan kematangan mereka tidak tahu daripada perbuatan mereka akan berlakunya kematian, “ katanya.

Menurut beliau, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu merusuh dan mencuri kenderaan.

“Polis turut merampas lima helai baju, lima helai seluar, empat topi keledar, tiga motosikal dan tiga telefon bimbit milik suspek,” katanya.

Amar Singh berkata, dengan tangkapan tersebut polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Amar Singh turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak menularkan mesej yang tidak benar kerana boleh memberi kesan siasatan dan proses mahkamah.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan.

No comments: