BUTTERWORTH: DAP digesa mengumumkan senarai nama-nama perwakilan
beserta nombor kad pengenalan mereka yang layak mengundi dalam pemilihan
parti pada 2012 yang menjadi kontroversi parti itu sehingga kini.
Ahli DAP Cawangan Bagan Luar, M. Sarawana mahu pengumuman itu dilakukan di kesemua akhbar pelbagai bahasa.
"Kami sudah mohon DAP (umumkan senarai nama untuk) pemilihan semula
anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). DAP harus umumkan perwakilan
yang layak mengundi semasa pemilihan DAP pada 2012," katanya pada
sidang medianya semalam.
Pemilihan 2012 itu tidak akan menjadi pertikaian sekiranya senarai itu
diberikan mengikut negeri dan cawangan masing-masing bagi memastikan
proses pemilihan itu berjalan dengan lancar dan telus.
Sarawana juga mengkritik kepimpinan parti yang tidak mengikut prosedur
yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam menjalankan
proses pemilihan itu.
"Kami di peringkat akar umbi tidak mahu sebarang unsur penipuan,
pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula
yang bakal diadakan pada 1 Okt ini. Ini penting untuk mempertahankan
maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan
adil.
"Anggota-anggota DAP patut berwaspada dengan golongan yang sentiasa
memperdaya tipu muslihat mereka kononnya mereka membuat keputusan demi
parti tetapi sebenarnya tindak tanduk mereka kelihatan menjurus ke arah
mempertahankan kepentingan pihak tertentu," katanya.
Apa yang lebih menghairankan, menurut Sarawana adalah keengganan
pemimpin DAP, yang pakar dalam perkara perundangan namun tidak bersuara
dan memperbetulkan salah laku dalam parti.
"DAP mempunyai ramai peguam yang selalu berjuang demi individu seperti
Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, mengapa peguam-peguam DAP ini tidak
berjuang untuk membetulkan pemilihan itu.
No comments:
Post a Comment