PETALING JAYA: Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir terus didesak melepaskan jawatannya selepas didakwa mesra PAS.
Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu, Ahmad Syauqey Abdul Ghani berkata
satu memorandum yang ditandatangani seluruh ahli parti negeri itu akan
diserahkan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya
keputusan segera diambil untuk membersihkan kepimpinan parti.
“Kita sudah serah memorandum supaya (Aziz ditukar) pada majlis
Pelancaran Pakatan Harapan Kelantan melalui Ketua Wanita PKR, Zuraida
Kamaruddin pada 25 Ogos, kemudian kita buat satu lagi kiriman kepada
seorang pemimpin yang rapat dengan presiden.
“Sekarang kita beri kepercayaan kepada pucuk pimpinan pusat membuat
keputusan terbaik sekalipun mengekalkan Aziz, kita menerima keputusan
itu secara terbuka.
“Bagaimanapun kita menaruh harapan tinggi kepada parti untuk mendengar
desakan kami dan sokongan dari akar umbi cukup kuat untuk mendesak Aziz
meletak jawatan,” demikian memetik kenyataan Syauqey sebagaimana
dilaporkan FMT, hari ini.
Awal bulan lalu memorandum mendesak pengunduran Ab Aziz dari jawatan
itu juga dilakukan, bertujuan menjaga kepentingan parti dan menghalang
pihak yang mahu memecahbelahkan kepimpinan PKR Kelantan sekaligus
menjadi 'pak turut' kepada kerajaan PAS Kelantan.
Sementara itu Syauqey memaklumkan isu pelantikan Ketua AMK Kelantan
yang baru, Mohd Khairul Amin Abdul Rahman dilihat masih menimbulkan
ketidakpuasan hati pada Ab Aziz dan kumpulannya yang terus mempersoalkan
tindakan itu.
Terdahulu Mohd Hafidz Rizal Amran dipecat dari jawatan sayap parti itu
pada 28 Ogos lalu dan digantikan dengan Khairul Amin sebagaimana
diumumkan Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dikatakan memenuhi
permintaan ahli parti di negeri berkenaan.
“Di peringkat saya ia (perlantikan ketua Pemuda PKR baharu) dianggap
selesai sebab pelantikan Khairul dibuat oleh Ketua Pemuda Pusat, Nik
Nazmi Nik Ahmad.
“Pihak saya membuat pertanyaan lanjut sebab Aziz mempersoalkan
keputusan Nik Nazmi apabila mendakwa tidak berbincang dengannya sebelum
keputusan dibuat padahal perkara itu sudah dimaklumkan. Mereka masih
tidak puas hati lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment