MALAYSIAKINI
Tangkapan terhadap seorang warga emas kerana posting di kumpulan
sembang WhatsApp memberi isyarat betapa longlainya kadar toleransi
pentadbiran semasa terhadap perbezaan pendapat dan kebebasan bersuara,
kata NGO Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) hari ini.
"Penindasan berterusan suara bercanggah hanya akan membawa kepada
kekecewaan yang lebih besar dan bertentangan perbincangan awam terbuka
yang diperjuangkan Cenbet," kata NGO itu dalam satu kenyataan media.
Tindakan terbaru itu, kata kumpulan berkenaan menimbulkan persoalan
berhubung tindakan keterlaluan oleh pihak berkuasa sejak beberapa bulan
kebelakangan ini.
Ini termasuk mendakwa aktivis Bilqis Hijjas kerana melepaskan belon
kuning pada acara yang dihadiri oleh perdana menteri, dan juga
pendakwaan ke atas artis Fahmi Reza kerana lukisan karikatur perdana
menteri sebagai badut.
"Penangkapan itu yang disusuli tahanan reman selama tiga hari
terhadap warga emas yang menyiarkan gambar di kumpulan sembang WhatsApp
itu adalah corak toleransi menjunam pihak berkuasa terhadap pandangan
alternatif.
"Bagaimana gambar yang dikongsi secara tertutup dalam kumpulan kecil
itu di mana yang kononnya dipersendakan itu bukanpun ahli kumpulan boleh
menjejaskan keselamatan negara memang sukar dibayangkan."
Ini, kata Cenbet, hanya memaparkan keremehan pemimpin negara negara hari ini.
Penulis berusia 76 tahun itu pertama kali ditangkap di rumahnya di
Kampung Tunku, Petaling Jaya, Jumaat lalu, dan dibawa ke mahkamah rendah
Johor Baru, yang membenarkan tahanan reman tiga hari yang berakhir hari
ini.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, lelaki itu
memuat naik imej berkenaan di bawah nama 'Pa Ya' dalam kumpulan sembang
WhatsApp 'Bicara Politik Melayu' yang bersifat jelik dengan tujuan
menghina, lucah dan menyakitkan hati rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment