MALAYSIAKINI
Dua wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini meminta polis menyiasat
Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang memuat naik status dalam
akaun Facebook miliknya yang menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Setiausaha Agung Kelab Warisan Malaysia (Keris) Azman Hassan berkata
status Facebook milik Nga telah memuatkan satu gambar karikatur
mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu ketika Hari
Raya sebagai rasuah.
Azman berkata, pemberian duit raya adalah satu amalan yang mulia
kerana memberikan sedekah dan perkara itu telah dipolitikkan oleh Nga.
"Perbuatan Nga ini jelas menghina dan merendah-rendahkan amalan mulia
ketika umat Islam menyambut Aidilfitri," katanya kepada pemberita
selepas membuat laporan di Balai Polis diKepala Batasi hari ini.
Katanya, beliau berharap polis akan menyiasat kes ini termasuk
pelukis karikatur, pemilik akuan facebook dan pentadbir akaun terbabit
yang didakwanya cuba menghasut.
Azman berkata Nga sebagai seorang wakil rakyat sepatutnya lebih
sensitif dan tidak mengaitkan sambutan Aidilfitri ini dengan sebarang
unsur-unsur politik.
"Kami meminta Nga untuk mengeluarkan status tersebut dan memohon maaf secara terbuka dalam akaun facebook miliknya," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia Saiful
Anuar turut hadir bersama Azman untuk membuat laporan polis dengan
jumlah empat laporan dibuat oleh wakil kedua-dua NGO tersebut.
Mengikut akaun Facebook yang bernama Nga KorMing, satu status yang
dimuat naik pada 5.15 petang 6 Julai, yang bertajuk "Hanya di Malaysia
di bawah Umno, Selamat Hari Raya", satu karikatur menunjukkan dua budak
sedang meminta derma daripada seorang individu.
Dalam perbualan dialog yang ditulis dalam karikatur itu, seorang
budak telah bercakap "Tahun ni kami tak mintak duit raya... kami mintak
derma..." manakala seorang lagi menjawab "Tak dapat derma, dedak pun
ok..." dan karikatur itu diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Raya
Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin".- Bernama
No comments:
Post a Comment