KUALA LUMPUR: Seorang pegawai dan tiga anggota polis menangis kegembiraan selepas dibebaskan daripada pertuduhan membunuh N.Dharmendran hampir empat tahun lepas semasa dalam tahanan lokap polis.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim melepaskan dan membebaskan Inspektor S. Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34 daripada pertuduhan membunuh Dharmendran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap mereka.
Beliau berkata kes prima facie pendakwaan terhadap tertuduh hanya diasaskan kepada keterangan mengikut keadaan, tidak menjurus pada satu dapatan, dan fakta menyebabkan kematian si mati.
"Pada asasnya pembelaan tertuduh adalah bahawa mereka tidak pada bila-bila masa, tidak mencederakan mangsa dan tidak mempunyai niat bersama untuk mencederakan atau membunuh si mati dalam kes ini," katanya yang membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan.
Mereka berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 26 Februari lepas, kesemua anggota polis itu yang dibebaskan selama lebih setahun, kembali semula ke penjara selepas Mahkamah Rayuan meminda keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Dis 2014, yang membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan membunuh tanpa memerintahkan mereka membela diri.
Dharmendran ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.
Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu mewakili tertuduh Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi, manakala Hare Krishnan diwakili peguam Gobind Singh Deo.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim. Sebanyak 19 orang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Kesemua tertuduh menangis kegembiraan sambil berpelukan sesama sendiri di dalam kandang tertuduh selepas hakim membacakan keputusan itu yang disahut dengan rasa gembira anggota keluarga tertuduh yang memenuhi galeri awam.
Pada 28 April lepas, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Dharmendran, mendapati kematiannya pada 21 Mei 2013 akibat penggunaan kekerasan fizikal oleh polis.
Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata laporan bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei 2013, mendapati kematian Dharmendran disebabkan diffuse soft tissue injuries due to multiple blunt force trauma.-- Bernama
No comments:
Post a Comment