Polis
Sarawak menahan saspek kelapan berhubung siasatan kes tembak Setiausaha
Cabang PKR Miri, Bill Anak Kayong di persimpangan Jalan di Lutong,
Tudan, Miri pada 21 Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner
Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam dalam satu kenyataan berkata, saspek itu
seorang lelaki berusia 28 tahun itu telah dicekup kira-kira pukul 10.30
malam tadi di sebuah pusat hiburan di Piasau Utara 1, Miri.
Dia ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Dengan penahanan itu, polis percaya saspek dapat memberikan lebih
banyak maklumat bagi penemuan baru berhubung kes pembunuhan itu.
"Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri tengah hari ini untuk direman," katanya dalam kenyataan tersebut .
Katanya, daripada tujuh saspek yang ditangkap sebelum ini, seorang
telah dibebaskan selepas permohonan reman polis ke atas saspek itu
ditolak di Mahkamah Majistret Miri.
"Pasukan penyiasat kes akan memohon melanjutkan perintah reman bagi
enam suspek yang ditangkap sebelum ini kerana siasatan belum selesai.
"Bagaimanapun, kami tidak dapat mendedahkan identiti kesemua saspek
buat masa ini kerana ia bimbang boleh mengganggu proses siasatan.
"Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor, yang sedang
memantau siasatan ini secara lebih dekat telah memberikan jaminan bahawa
tiada saki-baki yang akan tertinggal dalam kes ini.
"Polis menyiasat kes ini secara teliti bagi melengkapkan siasatan itu," tegasnya lagi. - MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment