MALAYSIAKINI
Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa meningkatkan dan menambah baik
kawalan keselamatan negara ekoran berleluasanya elemen militan IS di
negara ini.
Gesaan itu dibuat PAS berikutan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar yang mendedahkan dua daripada 15 orang yang ditangkap
berhubung serangan IS di Puchong adalah anggota polis.
Kenyataan itu, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan sedikit sebanyak
menjejaskan keyakinan terhadap PDRM.
“PAS berharap PDRM dapat mengambil penambahbaikan segera, memperbaiki
segala kelemahan dalam pemantauan dan membuat persediaan terbaik agar
pasukan keselamatan sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi
untuk IS daripada melakukan kerosakan kepada negara,” katanya.
Dalam
sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam polis mengesahkan
terdapat pembabitan kumpulan IS dalam letupan bom di sebuah pusat
hiburan di Puchong pada 28 Jun lalu.
Khalid berkata, ia adalah serangan pertama IS di negara ini dan
pihaknya telah menahan 15 orang, termasuk dua anggota polis bagi
membantu siasatan kes itu.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim yang juga bekas pesuruhjaya PAS Pahang
menyeru semua pihak agar bersatu mengekang elemen IS dan tidak saling
menyalahkan antara satu sama lain.
“Sekarang waktu untuk bersatu padu dan saling mempercayai, dan bukan saling salah menyalahkan.
“PAS juga meminta orang ramai turut memainkan peranan dengan sentiasa
menjaga keselamatan di tempat awam sebagai langkah berjaga-jaga,”
katanya.
Ekoran kejadian di Puchong itu seorang lelaki dikenali sebagai
Muhamad Wanndy Mohamad Jedi mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu.
Pengakuannya dibuat pada laman Facebook melalui akaun yang dikaitkan dengan IS.
Polis sedang memburu dua lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam insiden berkenaan.
Sekurang-kurangnya lapan cedera, termasuk seorang parah, kesan
daripada letupan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada sebutir bom
tangan.
No comments:
Post a Comment