Sunday, July 3, 2016

Orang awam berhak menderma, UMNO tak perlu persoal keikhlasan mereka

guan eng

Roketkini.com


SHAH ALAM: Hakikat bahawa kutipan derma solidariti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencapai RM1 juta dalam tempoh 21 jam menunjukkan bahawa rakyat memberi sepenuh sokongan, simpati dan bantuan kepada beliau yang ditindas oleh Barisan Nasional.

Sehubungan itu, Setiausaha Eksekutif Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer berkata pelbagai pihak termasuk UMNO tidak ada hak untuk mempersoalkan bantuan diberikan oleh orang awam terhadap Guan Eng itu kerana ia merupakan hak mutlak mereka.

“Orang awam yang menderma kepada DAP itu bukannya penderma asing yang penuh misteri seperti yang diterima oleh UMNO. Jadi, perkara itu tidak perlu dipersoalkan.

“UMNO dan Barisan Nasional seharusnya mendapat mesej apabila mereka menyerang Setiausaha Agung DAP, mereka menyerang keseluruhan parti. Dan untuk DAP, walau apapun cabaran politik yang dihadapi, kami akan terus bersama Guan Eng,” katanya.

Shakir berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Reezal Merican bahawa DAP membebankan orang ramai dengan membuat kutipan derma solidariti untuk Guan Eng.

Menurut Shakir, tidak ada sebab untuk Guan Eng meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang atau Setiausaha Agung DAP kerana parti itu dan Pakatan Harapan percaya bahawa tidak ada unsur rasuah yang diamalkan oleh beliau.

Selain itu, jelasnya, Guan Eng tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk campur tangan dalam penyiasatan yang sedang dijalankan, tidak seperti siasatan yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“UMNO dan BN perlu cermin muka sendiri terlebih dahulu sebelum ingin masuk campur.

“Banyak lagi isu (berat UMNO) yang masih belum selesai seperti skandal 1MDB yang tidak pernah berakhir, Tabung Haji dan tawaran biasiswa MARA, serta kes-kes melibatkan penyalahgunaan dana awam,” tambahnya. – Roketkini.com


No comments: