Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: 'Karenah birokrasi', 'tak buat kerja', 'agihan tidak
menyeluruh' dan sebagainya, adalah sebahagian cabaran yang dihadapi
institusi zakat lantaran persepsi negatif segelintir masyarakat.
Tanggapan yang dilemparkan tanpa usul periksa atau mendapat maklumat
yang tepat, sedikit sebanyak mencemarkan imej institusi berkenaan.
Inilah antara asam garam yang perlu ditelan institusi zakat ekoran
salah faham masyarakat yang tidak mengetahui peranan atau gerak kerja
institusi berkenaan.
Menurut Pengurus Besar Dakwah dan Syariah Lembaga Zakat Selangor (LZS),
Adibah Abdul Wahab, tidak ada istilah institusi zakat khususnya LZS,
'tidak buat kerja' kerana setiap pegawai mempunyai Petunjuk Prestasi
Utama atau KPI.
"Kalau ada yang mengatakan bahawasanya institusi zakat ini hanya
menunggu saja di kaunter, itu saya boleh nafikan sama sekali. Sebab
pegawai kita di lapangan ada KPI iaitu sasaran kerja tahunan yang mana
mereka kena beroperasi kenal pasti kawasan yang belum masuk lagi. Kami
namakan ia Skuad Jejak Kemiskinan (SJK)," katanya ketika diwawancara
Antarapos.
SJK telah ditubuhkan sejak 2011 bagi menjejaki golongan yang kurang
bernasib baik dan kurang berkemampuan yang layak untuk diberikan bantuan
zakat.
Malah ujar Adibah, LZS turut mengamalkan empat kaedah dalam pemberian bantuan kepada asnaf zakat di negeri ini.
Pertama, individu tersebut tampil sendiri memohon bantuan; kedua,
penolong amil qariah yang akan mencari asnaf di kawasannya dan
dicadangkan kepada LZS; ketiga, melalui pemantauan atau kegiatan turun
padang pegawai LZS sendiri dan keempat, melalui pelaporan pihak ketiga
di mana sesiapa saja boleh membuat laporan kepada LZS mengenai individu
yang dirasakan wajar menerima zakat.
Selepas mendapat maklumat dan menjalankan temuduga terhadap calon
asnaf, maka fasa kedua atau bantuan kepada mereka yang layak pun
bermula.
Justeru, dengan empat kaedah tersebut, maka tidak timbul isu yang
mengatakan pihak LZS 'tidak buat kerja' dalam mengagihkan bantuan kepada
golongan asnaf.
Dalam pada itu, Adibah turut menangkis tuduhan sesetengah pihak yang
mengatakan bantuan zakat terlalu sukar untuk dimohon ekoran karenah
birokrasi di sesetengah institusi zakat.
"Kalau orang tanya kenapa (nak pohon) zakat seolah-olah susah, kena isi
borang, ada birokrasi.
Sebenarnya kami di LZS, tak ada niat begitu.
Kenapa kita perlu susahkan mereka? Duit zakat ini adalah amanah LZS, itu
yang kita pegang. Kita pegang amanah daripada orang yang membayar.
Adakah mereka berpuas hati jika duit ini kita tabur saja?
"Bila mereka mengatakan bahawa mereka menghadapi masalah kewangan, jadi
kami kena dapatkan maklumat seperti maklumat keluarga, maklumat aset,
dan kita kena pergi ke lapangan, ini yang penting," tambah beliau.
Selain dilemparkan pelbagai persepsi negatif, ujar Adibah, perkara yang
merumitkan lagi keadaan adalah institusi zakat juga terpaksa berdepan
dengan situasi di mana masyarakat kini lebih gemar menyebarkan sesuatu
perkara menerusi media sosial tanpa memperoleh maklumat yang tepat
terlebih dahulu.
Tindakan sedemikian bukan saja mencemarkan imej institusi zakat, bahkan
ia juga akan mewujudkan krisis keyakinan masyarakat terhadap institusi
itu, seterusnya akan menjejaskan nilai kutipan zakat.
"Institusi zakat ini institusi yang kita sayang, yang menjadi penaung
kepada golongan yang susah dan memerlukan, menjadi istitusi yang memberi
kemudahan untuk yang membayar zakat, jadi kita kena pelihara.
"Oleh itu sebarang maklumat yang kita nak kongsi mengenai institusi
zakat ini perlulah maklumat yang membina. Ianya boleh jadi dalam bentuk
teguran, tetapi teguran yang membina, dan bukan yang mengeruhkan
suasana," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment