Bas elektrik bakal beroperasi di ibu kota pada pertengahan 2017.
Menariknya, ia adalah hasil kepakaran dan kemahiran sepasukan 30 jurutera muda lulusan universiti tempatan yang mencipta bas elektrik buatan negara pertama itu.
Idea menghasilkan teknologi hijau itu berikutan ia kini mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran dan kos penyelenggaraannya adalah minimum berbanding penggunaan bas konvensional.
Ketua Pegawai Operasi Sync R&D Sdn Bhd Nurulhanom Laham berkata kejayaan 30 jurutera muda itu amat membanggakan kerana mereka masih baharu dalam membangunkan teknologi seperti itu selain kejuruteraannya hanya dimiliki negara China.
"Sebenarnya banyak permintaan daripada pengusaha bas namun bekalan agak terhad selain kurang kemudahan penggunaan kenderaan elektrik seperti stesen pengecas," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Projek itu yang bermula sejak 2011 telah dipatenkan sebagai Elektrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM).
Nurulhanom berkata bas elektrik itu mampu menjimatkan kos operasi pengusaha bas di negara ini sehingga 60 peratus iaitu penjimatan lebih RM300 juta setahun berbanding penggunaan tenaga diesel.
Jelasnya, bas elektrik itu dibuat mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan dan United Nations Economic Commission for Europe yang membolehkan ia beroperasi dengan selamat di atas jalan raya.
"Ia kini sudah di peringkat akhir iaitu ujian dan pengsijilan bagi menjamin setiap komponen kenderaan itu berada di tahap terbaik dan selamat serta memenuhi standard sebelum ia boleh dipasarkan," katanya.
Teknologi baterinya mampu menggerakkan bas sejauh 200,000 kilometer selaras dengan purata perjalanan operasi bas di ibu kota untuk sehari, katanya.
Jelasnya proses reka cipta menelan belanja kira-kira RM30 juta itu bakal siap sepenuhnya Ogos ini dan dijangka dapat digunakan di atas jalan raya pada pertengahan 2017.
Sementara itu, seorang daripada jurutera muda terlibat Mohd Elyas Ariff Shaibudin, 28, berkata walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam rekaan bas elektrik, itu bukan penghalang untuk beliau memanfaatkan kemahiran dipelajarinya di universiti.
Mengakui tidak mudah menghasilkan inovasi itu tanpa bimbingan pakar, graduan kejuruteraan mekanikal Universiti Malaya itu berkata peluang itu sebaliknya telah mendorong jurutera muda sepertinya berfikiran lebih kritis dan kreatif.
Bagi Nizamuddin Daud, 28, pula antara cabaran yang perlu dihadapi bagi menjayakan inovasi itu adalah kekurangan sumber rujukan memandangkan kejuruteraan bas elektrik adalah ciptaan baharu yang belum meluas.
"Banyak kali proses percubaan menemui jalan buntu dan gagal tetapi kami berjaya atasinya dengan kerja berpasukan," katanya.
No comments:
Post a Comment