KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut manakala anaknya parah selepas
kenderaan yang mereka naiki ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki
menunggang motosikal di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG Jalan Klang Lama,
di sini, petang ini.
Dalam kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang berusia
32 tahun sedang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire bersama lima
orang anak berusia antara dua hingga 13 tahun serta seorang pembantu
rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner
Rusdi Mohd Isa, berkata mangsa yang bekerja sebagai ejen hartanah itu
ditembak lima das menerusi cermin tingkap sebelah pemandu.
"Satu peluru mengenai lehernya, manakala anak perempuannya yang berusia
lapan tahun di tempat duduk penumpang hadapan dipercayai terkena
tembakan pada sisi sebelah kanan kepala.
"Ada saksi mendakwa melihat suspek berlegar-legar menaiki sebuah
motosikal di sekitar kawasan kejadian tidak lama sebelum tembakan,"
katanya di sini, tadi.
Buat masa ini polis belum dapat memastikan motif kejadian dan identiti suspek.
"Anak mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk
rawatan namun kita belum dapat memastikan tahap kecederaannya.
"Tembakan berlaku di tengah simpang jalan yang dikelilingi beberapa
restoran, dan kita yakin ada saksi melihat kejadian ini dengan jelas
selain kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada
berhampiran tempat kejadian," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
No comments:
Post a Comment