Roketkini.com
PETALING JAYA: DAP mengecam penahanan seorang penulis berusia 76 tahun yang didakwa menyebarkan gambar mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui perbualan dalam kumpulan Whatsapp.
Mengulas tindakan terbabit, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menyifatkan penangkapan tersebut memualkan, memandangkan warga emas itu menjadi mangsa keadaan di hari-hari terakhir Ramadan.
Katanya lagi, pihak polis dan kerajaan pimpinan Najib harus sedar bahawa kehidupan sebagai ahli politik pasti tidak boleh lari daripada dikritik dan dijadikan bahan ketawa.
Tambah beliau, polis tidak patut bersikap berat sebelah dengan menghalang mereka yang menyebarkan gambar suntingan Perdana Menteri namun membiarkan gambar-gambar suntingan lain tersebar tanpa tindakan.
“Gambar pemimpin pembangkang lebih banyak dijadikan bahan suntingan tetapi kami menerimanya sebagai sebahagian daripada kehidupan figur politik awam.
“Polis sepatutnya sudah tidak lagi dimanipulasi oleh mereka yang berkuasa demi menakut-nakutkan mereka yang berani melawan dan mengkritik kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kg Tunku, Lau Weng San berkata, seiring dengan amalan demokrasi, kritikan atau penentangan terhadap Najib tidak harus dihalang.
Malah katanya, Najib dan penasihatnya patut mencari sebab mengapa ada kritikan berterusan terhadap beliau oleh rakyat dan tidak patut menyalahgunakan undang-undang untuk menghalang rakyat dari terus mengkritik kepimpinannya yang terbukti bermasalah.
“Jika sudah berbincang dan masih menganggap pengkritiknya salah, Najib sepatutnya memulakan saman sivil terhadap mereka bagi prosiding fitnah, dan bukan menyalahgunakan proses undang-undang dan jawatan untuk menganiaya pengkritiknya,” katanya.
Weng San yang merupakan Adun di kawasan tempat tinggal penulis yang ditahan itu bersedia menawarkan bantuan dalam apa juga cara kepadanya, malah, telah berjaya mendapatkan bantuan ketua-ketua masyarakat di kawasan tersebut.
Beliau dan Lip Eng akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan tentang kemungkinan salahguna kuasa oleh polis selepas penulis itu dibebaskan dari lokap nanti.
Penulis buku warga emas terbabit direman selama tiga hari bermula semalam apabila beliau didakwa memaparkan gambar Najib yang disunting dalam kumpulan Whatsapp ‘Bicara Politik Melayu’ yang kononnya ‘menjatuhkan moral’ Perdana Menteri itu.
Beliau yang menderita sakit kencing manis dan darah tinggi itu sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50 ribu atau hukuman penjara setahun maksimum atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Seksyen 233 adalah berhubung penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi untuk perkara lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment