Sunday, June 26, 2016

Pecat: Mungkin ada sabotaj dalam PRU14 nanti

Muhyiddin yassin


SHAH ALAM - Penganalisis politik melahirkan kebimbangan tindakan pemecatan ke atas dua pimpinan Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam bakal mewujudkan sabotaj dalaman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata sabotaj itu mungkin berlaku secara besar-besaran walaupun percikannya langsung tidak kelihatan ketika ini.

“Kebimbangan saya hanya satu, ahli Umno memang tidak akan beri reaksi (sekarang) tapi apabila berlaku pilihan raya nanti, mungkin akan berlaku sabotaj dalaman yang besar. Itu tidak pasti akan berlaku atau tidak tapi boleh berlaku.

“Sebab kita tahu sokongan kepada Tun (Dr) Mahathir (Mahathir) masih kuat. Muhyiddin dan Mukhriz pun ada sokongannya. Cuma, setakat ini ahli Umno nak lihat apa tindakan mereka selepas dipecat. Selepas itu baru mereka bertindak tapi di Jerlun dan Pagoh pasti akan ada kesannya,” katanya kepada Sinar Online.

Semalam, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz serta menggantung keahlian Datuk Seri Shafie Apdal dari parti itu.

Mengulas lanjut, menurut Azizuddin, berdasarkan tradisi Umno, penyokongnya mengikut kata ketua dan jika mereka tidak bersetuju, protes tidak dilakukan secara terang-terangan.

“Apa-apa tindakan diambil oleh ketua, walau mereka tidak setuju sekalipun mereka tidak akan protes tapi ia hanya akan dilakukan secara senyap. Apabila pilihan raya selalunya mereka akan sabotaj.

“Saya rasa buat waktu ini ahli Umno akan terus menyokong pucuk pimpinan. Mereka tidak akan bertindak seperti zaman (pemecatan) Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu...demonstrasi besar-besaran kerana keadaan itu berlainan,” katanya.

Beliau juga berpendapat Umno masih mempunyai masa untuk memujuk ahli-ahlinya yang marah dengan keputusan pemecatan itu sebelum PRU14.

Katanya lagi, keputusan Muhyiddin dan Mukhriz selepas pemecatan ini pastinya dinanti-nanti penyokong.

“Ada yang sebut tentang tubuh parti baharu tapi kita sudah ada banyak parti. Parti baharu itu nanti nak kedudukan yang bagaimana pula?

“Blok politik keempat? Atau nak bekerjasama dengan Pakatan Harapan? Atau dengan blok politik ketiga bersama Pas? Kalau mereka bergerak sendiri saya rasa tak ada platform yang jelas,” katanya.

Menyentuh soal Shafie yang hanya digantung dari parti, Azizuddin berpandangan pemimpin dari Sabah itu berpeluang kembali kepada kem asal.

“Shafie ini...beliau sokong juga Deklarasi Rakyat tapi beliau kelihatan seperti ‘mahu pulang semula’ kepada pimpinan sekarang. Baru-baru ini pun beliau berkempen untuk pilihan raya kecil.

“Kalau nampak positif (tindakannya) dan kembali menyokong kepimpinan sekarang ini mungkin beliau akan kembali dan tidak akan dipecat. Shafie masih ada peluang lagi untuk kembali tidak seperti Muhyiddin dan Mukhriz,” katanya.

No comments: