Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak untuk bertanding pada
pilihan raya umum (PRU) akan datang sama ada sebagai calon bebas ataupun
menubuhkan parti baru.
Namun menurut Veteran Umno Tan Sri Dr Rais Yatim, sebelum Muhyiddin
memilih jalan itu, ahli Parlimen Pagoh berkenaan hendaklah mengambil
kira kesan daripada keputusan yang bakal diambilnya kelak.
"Negara kita (amalkan) demokratik jadi semua hak itu harus dihormati
walaupun dalam situasi Muhyiddin yang sudah tidak menjadi ahli Umno.
Jika beliau berhasrat bertanding di Pagoh, tiada siapa yang boleh
menghalang.
"Tentulah beliau akan bertanding atas tiket yang lain sama ada bebas
ataupun atas nama parti lain. Perkara itu perlu ditimbang
sedalam-dalamnya sebelum beliau nak mengambil tindakan," katanya kepada
Antarapos.
Semalam Muhyiddin memberitahu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh
tetapi masih belum membuat keputusan sama ada bertanding atas tiket
bebas ataupaun menyertai parti sedia ada.
Jumaat lalu Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk memecat
Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir
serta merta daripada parti itu.
Pemecatan itu dibuat kerana mereka sering mempersoalkan pemimpin
tertinggi Umno bersabit isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu
derma RM2.6 bilion, meskipun ia masih dalam siasatan Jawatankuasa
Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM).
Kedua-dua mereka juga kerap kali menyertai pembangkang dalam usaha
menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Deklarasi
Rakyat yang dipimpin bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.
Ketika ditanya mengenai kebarangkalian Muhyiddin mewujudkan parti baru
bersama Mukhriz dan Mahathir, Rais tidak menolak kemungkinan itu.
Malah beliau berkata jika itu yang berlaku, ia bakal memecahkan lagi undi Melayu yang sedia ada.
No comments:
Post a Comment