PARTI Amanah akan ‘bungkus’. Itu tanggapan sesetengah pihak berdasarkan keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.
Meskipun di Sungai Besar, Amanah mendapat undi kedua terbanyak selepas BN dan berjaya mengatasi Pas – apa yang disebut-sebut sebagai sebab dan matlamat mereka menyertai pilihan raya – bagi sesetengah pemerhati, 7,609 undi diperoleh sekadar menyerlahkan lagi kelemahan parti pimpinan Mat Sabu itu.
Ini kerana, jumlah undi sebanyak itu dianggap kecil berbanding Pas yang mendapat 6,902 undi. Walaupun undi untuk Pas kurang berbanding Amanah, apa yang diperoleh parti itu dikategorikan sebagai undi ‘solid’ sedangkan undi untuk Amanah, selain daripada penyokong sendiri, juga adalah daripada penyokong DAP dan PKR.
Ini bermakna untuk mengatasi Pas, Amanah memerlukan undi daripada penyokong dua parti lain yang secara relatif menunjukkan parti itu belum cukup kuat untuk menyaingi Pas.
Tambahan pula sepanjang tempoh kempen PRK, calon Amanah mendapat sokongan padu jentera DAP terutama di kawasan majoriti Cina di Dun Sekinchan yang diketahui adalah kubu parti itu.
Lalu pada PRU, apabila setiap parti bertanding di kawasan sendiri, dengan kekuatan jentera sendiri dan tidak lagi mendapat sokongan daripada rakan-rakan pakatan sebagaimana PRK, apa yang diperlihatkan oleh Amanah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah meragukan!
Di Kuala Kangsar, meskipun menjadi satu-satunya parti yang menampilkan calon anak tempatan, Amanah sekadar mampu meraih 4,883 undi berbanding BN (12,653 undi) dan Pas (5,684 undi).
Justeru, Amanah dianggap parti yang melangkah menuju PRU14 dalam keadaan tempang, setidak-tidaknya berdasarkan keputusan kedua-dua PRK ini!
Namun bagi sesetengah pemerhati, keadaan ini boleh berubah menjelang PRU14. Kedudukan Amanah yang dianggap lemah dan masih terkial-kial mencari tempo, mungkin akan menjadi sebaliknya dalam tempoh dua tahun lagi.
Ini berdasarkan perkembangan semasa yang bagi sesetengah pemerhati, membuka ruang untuk Amanah menjuarai keadaan jika pemimpin parti itu bijak mengeksploitasi situasi terutama membabitkan dua bekas pemimpin besar Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang baru dipecat daripada parti itu kelmarin.
Kata mereka, laba sedang bergolek ke kaki pemimpin Amanah.
Pada kedua-dua PRK, Tun Dr. Mahathir Mohamed turun berkempen untuk calon parti itu. Beliau sepentas bukan sahaja dengan Mat Sabu malahan juga supremo DAP, Lim Kit Siang yang dianggap godfather Amanah.
Deklarasi Rakyat yang dipelopori Mahathir, disokong kuat oleh pemimpin Amanah pada ketika ia ditentang bukan sahaja oleh Umno, bahkan juga Pas dan pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini sekali gus menunjukkan Mahathir memerlukan Amanah untuk terus menggerakkan kempen menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak dari kerusi Perdana Menteri.
Pas yang kini sedang mengaplikasi konsep politik matang dan sejahtera tidak bersetuju untuk Perdana Menteri digulingkan di luar proses pilihan raya.
Meskipun Muhyiddin dan Mukhriz tidak turun berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar - asbab pemecatan mereka daripada Umno adalah membantu kempen parti lawan - menerusi penglibatan Mahathir, mereka dianggap berada di pihak yang sama oleh pemimpin dan penyokong Amanah dan DAP.
Dan apa yang berlaku kepada bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah itu, turut mendapat simpati mereka.
Muhyiddin dan Mukhriz dianggap hero yang memperjuangkan kebenaran, tetapi akhirnya disingkirkan oleh parti mereka sendiri apabila dianggap sebagai ancaman.
Jika sebelum ini, kedua-dua bekas pemimpin Umno itu dipercayai sengaja berdiam diri setelah digugurkan daripada jawatan dalam kerajaan untuk tidak dikaitkan dengan sebarang salah laku yang akan membawa hukuman lebih berat, Muhyiddin dan Mukhriz – berdasarkan kenyataan Muhyiddin semalam - tidak lagi akan terus tunduk setelah dipecat kelmarin.
Mereka mempunyai penyokong dan simpatisan yang ramai, termasuk daripada kalangan nonpartisan.
Kedua-dua Muhyiddin dan Mukhriz memerlukan platform. Adalah dipercayai, dalam Umno tidak akan ada mana-mana pihak yang berani memberikan mereka ruang melihat pada tindakan tegas pucuk pimpinan parti dan kerajaan terhadap pihak yang menentang. Ini termasuklah pemberhentian peruntukan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) yang jadi tapak aktiviti Mahathir selepas bersara, kelmarin.
Justeru, bagi pemerhati, inilah masa dan ruangnya untuk Amanah menyediakan platform kepada Muhyiddin dan Mukhriz dalam keadaan mereka memerlukan pentas dan crowd untuk turun memberikan penjelasan kepada rakyat akan segala hal yang berlaku ke atas diri mereka.
Sebelum ini, Pas mungkin boleh dianggap lebih sesuai berbanding Amanah untuk menyediakan ruang kepada kedua-dua bekas pemimpin besar Umno itu namun melihat pada perubahan sikap parti itu yang kini bersungguh-sungguh mahu mengamalkan budaya politik matang dan sejehatera terutama dalam hubungan dengan Umno, mungkin tidak ada lagi sudut untuk Muhyiddin dan Mukhriz mendedahkan apa-apa yang buruk mengenai Najib di pentas Pas. Lebih-lebih lagi, Pas kini dalam keadaan memerlukan sokongan Umno untuk menyokong usul RUU Akta 355 di Dewan Rakyat.
Tambahan pula, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini jadi sasaran Mahathir berhubung isu 'dedak' dan komitmen menjatuhkan Najib. Abdul Hadi membalas dan kemudian turut ditumpang semangkuk oleh Ketua Pemuda Pas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.
Jika Muhyddin dan Mukhriz setuju untuk berkolaborasi dengan Amanah, ia boleh dianggap satu langkah menang-menang yang akan membawa lonjakan kekuatan bagi parti itu menghadapi PRU14.
Soalnya, adakah mereka bersedia ke arah itu, untuk naik ke pentas pembangkang secara terang-terangan dan menghentam parti yang pernah memberikan mereka ruang?
Situasi mereka tidak sama dengan Mahathir. Mahathir sudah mencapai tahap pesara politik dan tidak ada apa lagi yang mahu dikejar dalam kariernya melainkan berjuang atas prinsip dirinya sendiri.
Muhyiddin, meskipun usianya sudah 69 tahun, sudah 40 tahun bergelumang dalam politik dan boleh dikira sesuai juga andai beliau membuat keputusan mahu bersara, sudah tentu tidak mudah baginya untuk mengakhiri karier dalam keadaan seperti sekarang. Lagi pun dalam kenyataannya semalam, Muhyiddin menyatakan beliau akan terus berjuang.
Beliau masih memerlukan platform untuk membela dirinya di hadapan rakyat, lebih-lebih lagi berkaitan skandal yang ditohmah terhadapnya oleh seorang blogger.
Soalnya bersediakah untuk Muhyiddin melafaz talak tiga sekali gus kepada Umno?
Bukan tidak pernah ada pemimpin Umno yang dipecat, akhirnya kembali setelah kepimpinan parti berpindah tangan.
Mahathir dipecat pada era Tunku Abdul Rahman dan kembali semula ke pangkuan parti pada era Tun Razak. Setelah dipecat, Mahathir menggunakan pentas Pas namun menegaskan itu bukan bermakna beliau mahu menyertai Pas, sekadar menggunakan ruang yang diberi untuk menyatakan pendiriannya di hadapan rakyat.
Apabila beliau menggunakan pentas pembangkang kali ini, senario sudah berbeza bagi Mahathir.
Apakah Muhyiddin dan Mukhriz juga sedia untuk mengambil tindakan yang serupa?
Mampukah pemimpin Amanah memujuk mereka untuk sama-sama menggembleng tenaga menurunkan Najib?
No comments:
Post a Comment