Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki
1. Apa keperluan dipinda Akta 355?
Jawapan:
Cadangan
pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355)
adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan
kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6
kali sebatan syar’ie. Kali terakhir dipinda pada tahun 1984 peningkatan
dari penjara 6 bulan dan denda RM1000
. Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.
2. Sebatan 100 kali adalah agak melampau?
Jawapan:
Kaedah
sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan
Syariah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan
seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh
tatkala menghayun. Justeru 100 kali sebatan Syariah tidak sama dengan 1
kali sebatan Sivil yang boleh mencederakan.
3. Akta 355 memberi kesan secara tidak langsung kepada orang Bukan Islam
Jawapan:
Orang
Bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah
kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah
hanya untuk umat Islam dan Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya
orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.
4. Akta 355 adalah pintu belakang ke arah melaksanakan Hudud.
Jawapan:
Akta
355 tiada perkaitan dengan pelaksanaan hukum Hudud. Pelaksanaan Hudud
hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Contohnya bagi melaksanakan Hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga
pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan
bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah
Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1
Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan
5. Apakah Perlembagaan boleh dipinda?
Jawapan:
Boleh
dengan syarat undi majoriti iaitu 2/3 Ahli-Ahli Parlimen Dewan Rakyat
bersamaan 148 daripada 222 orang Ahli Parlimen bersetuju menyokong
satu-satu pindaan. Realiti politik hari ini kalau digabungkan semua
Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam dari UMNO, PAS, PKR, PAN, PBB dan DAP
hanya berjumlah 135 orang; tidak memenuhi bilangan majoriti untuk
meminda Perlembagaan. Bermakna Ahli-Ahli Parlimen Bukan Islam juga
mempunyai hak dan kuasa bagi membolehkan hukuman Hudud dilaksanakan.
6. Apakah bahagian-bahagian penting dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda untuk laksana Hudud di Malaysia?
Jawapan:
Sekurang-kurangnya 3 bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda:
(i).
Senarai II Jadual Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa
Jenayah ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang terkandung
dalam Butiran 1. Sebagai contoh undang-undang jenayah seperti mencuri,
merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang
wujud dalam Penal Code) terletak di bawah kuasa persekutuan dan dalam
bidang kuasa Mahkamah Sivil dan polis, penjara juga terletak dibawah
Persekutuan.
(ii). Selain daripada pindaan pada
Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga perlu
diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan
undang-undang Jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa Persekutuan.
(iii).
Perkara 8 juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian
dan ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan
peruntukan undang-undang kerana berbeza agama. Dengan kata lain bagi
membolehkan ada dua set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan
Bukan Islam.
7. Pindaan RUU 355 ini membolehkan undang-undang berbaur Hudud diperkenalkan.
Jawapan:
Hudud
melibatkan hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan; 4 bersifat
individu atau dosa peribadi iaitu Zina, Menuduh Zina (Qazaf), Minum Arak
dan Murtad, manakala 2 lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti
Mencuri dan Merompak. Sekarang inipun 4 jenis kesalahan ini yang
melibatkan dosa peribadi (Zina, Qazaf, Minum Arak dan Murtad) sudah ada
peruntukan undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri. Akta 355 tidak
melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang
merupakan bidang kuasa Persekutuan. Jadi pindaan RUU hanya melibatkan
peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah
negeri-negeri.
8. Ketidakadilan akan berlaku
jika terjadi kejadian rogol yang melibatkan orang Islam dan Bukan Islam.
Orang Islam dihukum di Mahkamah Syariah manakala bukan Islam di
Mahkamah Sivil.
Jawapan:
Rogol
bukan merupakan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana
ia terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal
Code atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan.
9.
Perlaksanaan Hudud akan mewujudkan situasi rakyat berhadapan dengan dua
set perundangan berkaitan jenayah yang bertentangan Perkara 8
Perlembagaan Persekutuan.
Jawapan:
Soalan
ini tidak relevan kerana pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan Hudud
mahupun hukuman jenayah di bawah Bidang Kuasa Persekutuan. Jadi tiada
isu pertentangan dengan mana-mana Bahagian dalam Perlembagaan
Persekutuan.
10. Kenapa bukan Pihak Kerajaan yang membentangkan RUU untuk meminda Akta 355?
Jawapan:
Kerajaan
terikat dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan
Mahkamah Syariah. Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf
Mahkamah Syariah daripada 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana
Mahkamah Sivil. Untuk itu, Menteri perlu mengadap semua Sultan-Sultan
atau Raja Melayu untuk mendapat perkenan kerana kuasa agama terletak
dibawah kuasa Raja-Raja Melayu. Setakat ini ada di kalangan Negeri yang
belum bersetuju. Jika semua bersetuju barulah boleh dibentangkan di
peringkat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen.
Dengan
kata lain, walaupun Akta 355 adalah undang-undang Pesekutuan, namun ia
adalah berkait secara langsung dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang
terletak di bawah Kuasa Sultan/ Raja-Raja. Terdapat banyak tertib
langkah yang perlu dilalui oleh Menteri termasuk meyakinkan Jemaah
Menteri yang terdiri dari Parti-parti bukan Islam. Justeru bagi
mengelakkan kesukaran yg mungkin boleh menjejaskan perjalanan proses
pindaan Akta 355 itu, adalah lebih mudah prosesnya jika ia dimulakan
sebagai Usul Persendirian. Jika Dewan Rakyat meluluskannya untuk
dibahaskan ia adalah kemahuan majoriti Rakyat dan bukannya kemahuan
Kerajaan semata-mata. Kemahuan ini tidak sekali-kali menyentuh kuasa
Raja-Raja kerana apa pun tahap maksimum hukuman yang diluluskan, pindaan
muktamad masih perlu dilakukan di peringkat DUN.
Dalam
konteks tertib yang sama berkaitan peningkatan Kuasa Hukuman Mahkamah
Syariah yang hendak diperkasakan, Kerajaan terikat dengan prosedur
serupa. Walau bagaimanapun Parti PAS dalam konteks ini tidak terikat
dengan prosedur ini dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU
ini dibentangkan.
* Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam)
No comments:
Post a Comment