Akur dengan keputusan itu, Mohamed Khaled berkata anggota Umno haruslah bersikap rasional dan menerima keputusan ini sebagai satu ujian yang menguji kesabaran dan kematangan dalam memperjuangkan parti.
"Saya percaya bahawa tindakan ini bukanlah satu tindakan yang memeranjatkan mana-mana pihak, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat seperti (Tan Sri) Muhyiddin dan (Datuk Seri) Mukhriz.
"Tonggak bagi mana-mana parti adalah asas disiplin dan yang menguatkan Umno selama ini soal disiplin. Isu ni dah berlarutan. Apatah lagi tindakan untuk bersama-sama dan bersekongkol dengan pembangkang.
"Saya percaya Dr Mahathir ambil langkah awal, dia sendiri keluar dari parti, tidak terikat dengan disiplin parti. Jadi kita tidak boleh sebelah sana, sebelah sini, jadi menyusahkan banyak pihak," kata beliau kepada pemberita selepas program Ziarah Ramadan di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di Johor Bahru hari ini.
Mohamed Khaled menjelaskan Muhyiddin yang pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Pengurusan, yang menjaga mengenai disiplin, faham mengenai ini dan setiap kali mesyuarat Majlis Tertinggi, antara asas untuk memecat ialah bila bersekongkol dengan pembangkang dan secara terang-terangan tidak menyokong calon parti.
Menteri besar berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Majlis Tertinggi semalam mengenai pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz sebagai anggota Umno kerana pelanggaran disiplin serta penggantungan keahlian Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata Umno Johor pernah melalui keadaan sedemikian ketika beliau adalah Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru pada tahun 1990-an apabila Ketua Bahagiannya Tan Sri Shahrir Abdul Samad menerima keputusan digantung.
Mengimbau kembali keadaan itu, beliau berkata anggota Umno menerima keputusan itu dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memusnahkan parti.
"(Tan Sri) Shahrir yang digantung itupun tidak mengambil tindakan-tindakan untuk bersama pihak pembangkang, naik atas platform pembangkang dan sebagainya.
"Beliau menerima walaupun terus protes manakala kami sebagai penyokongnya tidak lakukan perkara yang boleh memudaratkan parti malah kami memperkuat dan memperkukuh kedudukan dalam parti sehingga setiap kali ada perjumpaan, kami akan kemukakan kepada pucuk pimpinan supaya dilepaskan penggantungan itu," kata Mohamed Khaled.
Justeru anggota Umno terutamanya Umno bhagian Pagoh diingatkan agar kekal rasional dan menganggapnya sebagai ujian dalam memperkuat parti sebagai wadah perjuangan orang Melayu, kata beliau.
Ditanya sama ada keputusan ini menjejaskan persiapan Umno Johor untuk pilihan raya umum akan datang, Mohamed Khaled berkata Umno Johor sedia menghadapi sebarang cabaran mendatang dan segala kemungkinan.
Muhyiddin, 69, yang merupakan anggota Parlimen Pagoh sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya ke-5 pada tahun 1978, adalah ketua Umno bahagian Pagoh dari 1986. - Bernama
No comments:
Post a Comment