shahbudindotcom
Beliau
yang merupakan Pengerusi Amanah Sungai Besar, tidak dipertikaikan dari
segi kelayakan, kemampuan, pendidikan, asal usul tempatan atau latar
belakang keluarga di mana ayahnya pernah menjadi Adun dan Ahli Parlimen
sebelum ini, tetapi yang menjadi persoalan ialah mengapa Amanah tidak
meletakkan pemimpin bertaraf nasional sebagai calonnya?
Jika
dilihat ini adalah pertaruhan pertama Amanah dalam pilihanraya kecil di
Semenanjung dan berdasarkan calon BN dan Pas yang sudah diumumkan,
parti itu seharusnya memilih calon yang lebih menonjol di peringkat
nasional untuk diketengahkan.
Dengan
menonjolkan calon yang lebih dikenali di peringkat nasional beserta
isu-isu yang dibangkitkan dalam kempen nanti juga bersifat nasional,
Pakatan Harapan tentunya akan lebih mudah menggamit kepercayaan
pengundi.
Lebih-lebih
lagi kerana calon BN, Budiman Mohd Zuhdi sudah pun menjadi Adun Sungai
Panjang, begitu juga calon Pas yang merupakan Adun Meru, Klang.
Tetapi
dengan hanya meletakkan Azhar, seorang yang masih bersifat tempatan dan
belum begitu dikenali, Pakatan Harapan tentunya kena bekerja lebih
keras, bukan saja untuk memperkenalkan calon tersebut kepada pengundi,
malah juga untuk menandingi dua lagi pesaingnya itu.
Azhar
adalah nama yang terlalu baru untuk diketengahkan bagi berhadapan
dengan calon kerajaan dan jika benar ingin memberi persaingan, malah di
kalangan pimpinan Amanah sendiri pun ada yang tidak mengenalinya.
Di
Sungai Besar, dalam konteks Amanah yang baru ditubuhkan dan
diwar-warkan sebagai pengganti kepada Pas, calon yang paling sesuai
untuk bertanding ialah Mohamad Sabu sendiri.
Kewajaran
memilihnya atas kemampuan berhujah di Parlimen saja sudah banyak
memberi kelebihan kepada Mohamad Sabu, berbanding Budiman atau Dr Rani.
Mungkin
Amanah meletakkan Azhar dan tidak memilih Mohamad Sabu kerana
bimbangkan kekalahan yang seterusnya akan menjejaskan imejnya, namun
risiko kalah menang adalah lumrah dalam perjuangan yang perlu dihadapi,
bukan dielakkan.
Jika takut risiko, meminjam kata-kata Anwar Ibrahim, lebih baik jangan bicara tentang perjuangan.
Umpama
menaiki kereta, sama ada memandu secara perlahan di laluan tepi atau
memecut laju di laluan paling kanan, kedua-duanya tetap terdedah kepada
risiko kemalangan. Memandu laju barangkali kita yang melanggar orang,
memandu perlahan mungkin lori melanggar kita.
Dalam
konteks positif, jika Mohamad Sabu kalah misalnya, Amanah dapat lebih
awal mengenal pasti kelemahan dan kekurangannya serta seterusnya
mempunyai ruang untuk memperbaikinya sebelum berlangsungnya PRU 14
kira-kira dua tahun lagi.
Tetapi, sekiranya mampu menang, ia akan melonjakkan lagi imej Amanah dan lebih menggerunkan BN serta Pas.
Jika
Mohamad Sabu juga yang menang atas kapasitinya sebagai Presiden parti,
mesej kekalahan BN juga lebih perit untuk diterima oleh Najib Razak
dalam menghadapi fasa-fasa masa depannya yang masih tidak menentu.
No comments:
Post a Comment