shahbudindotcom
Saya
bukanlah penyokong Jamal Mohd Yunus, tetapi saya simpati apabila beliau
tidak terpilih sebagai calon di Sungai Besar, lebih-lebih lagi yang
dipilih ialah Budiman Mohd Adun yang sudah pun menjadi Adun Sungai
Panjang.
Tidak
terpilihnya Jamal seolah-olah kedudukan beliau sebagai Ketua UMNO
Bahagian telah didiskriminasi dan dianiaya semata-mata kerana kekurangan
tertentu serta imej dirinya selama ini.
Hakikatnya,
Jamal adalah pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh ahli-ahli UMNO
Sungai Besar sendiri untuk mengetuai bahagian tersebut, malah
kemenangannya dicapai dengan keringat dan titik peluh.
Maka, keutamaan untuk dipilih sebagai calon perlu berpihak kepadanya.
Jika tidak, apa gunanya diamalkan konsep parti menguasai kerajaan?
Kenapa
apabila dalam soal calon untuk pilihanraya, beliau diketepikan
sedangkan dalam sistem UMNO selama ini memang memberi keutamaan kepada
penjawat Ketua Bahagian untuk bertanding dalam pilihanraya?
Memang
benar Jamal ada menyatakan beliau tidak berminat untuk bertanding,
tetapi memang orang politik selalu bercakap begitu. Sudah banyak contoh
perlakuan orang politik seperti itu.
Najib
dulu pun ketika mula-mula wujudnya gerakan menjatuhkan Pak Lah, turut
lambat menyatakan minatnya. Hanya setelah terdapatnya usaha untuk
menonjolkan Tengku Razaleigh untuk digandingkan dengan Muhyidddin Yassin
dan seseorang telah menyampaikan maklumat itu kepadanya, barulah Najib
mula menonjolkan diri dan minatnya.
Begitu
juga ketika pemilihan 1993, Anwar Ibrahim turut menyatakan tidak
berminat untuk melawan Tun Ghafar Baba. Akhirnya dilawannya juga.
Sebelum
dapat, memang orang politik selalu cakap tidak berminat, kalau diberi
atau ketika peluang terbuka, tidak pernah pula mahu ditolak.
Orang
seperti Jamal yang dianggap degil, keras kepala, suka buat kecoh dan
terkenal dengan perhimpunan baju merah, adalah watak yang perlu dalam
mana-mana parti politik.
Ia
adalah watak yang menambahkan ceria dan menjadikan parti itu sentiasa
hidup dan disebut ramai. Kehadirannya dibenci, tapi diperlukan.
Dalam
PKR, dulunya watak itu milik Tian Chua dan Golabakrisnan. Akhirnya
kedua-duanya menjadi Ahli Parlimen Batu dan Padang Serai. Tian Chua kini
sudah matang dalam gerak laku politiknya, walaupun Gobalakrishnan
terbuang kerana pertelingkahan dalaman.
Dahulunya
juga, dalam Pas, ada Mohamad Sabu manakala di dalam UMNO, antaranya
ialah Ibrahim Ali yang punya watak seperti Jamal sekarang. Tetapi kini
kedua-duanya sudah bertaraf presiden dengan mengetuai Amanah dan
Perkasa.
Begitu
juga dengan Jamal, dengan peredaran masa dan jika diberi peluang
bertanding dalam pilihanraya, lebih-lebih lagi jika sudah bergelar YB
nantinya, kematangan akan datang sendiri dalam dirinya.
Tetapi dengan awal-awal lagi UMNO sudah mengenepikannya, kelibat Jamal mungkin akan berkubur lebih awal.
Sekiranya
Budiman menang dalam pilihanraya kecil 18 Jun depan, beliau bukan saja
menjadi YB Berganda, malah kebarangkaliannya ialah namanya akan terus
menonjol dan menjadi sebutan serta menenggelamkan Jamal.
Najib
yang sedang berhempas pulas untuk mengekalkan kedudukannya sebagai
Perdana Menteri, tentu saja akan mengekalkan lagi Budiman untuk
bertanding di kerusi Sungai Besar dalam PRU 14 akan datang, manakala
Jamal mungkin akan diberi peluang bertanding di DUN Sungai Panjang.
Katalah
kedua-duanya menang bertanding dalam bergelar wakil rakyat, ketika itu
hampir pasti Budiman akan menentang Jamal untuk merebut jawatan Ketua
UMNO Bahagian Sungai Besar kerana taraf dan status sebagai Ahli
Parlimen lebih tinggi berbanding Adun.
Oleh kerana taraf dan status yang lebih tinggi itu, peluang Budiman menewaskan Jamal juga turut tinggi.
Akhirnya
Jamal hanya akan menjadi Adun biasa dalam kerajaan Pakatan Harapan yang
biasanya akan tenggelam dan tidak berperanan, sama seperti watak
Adun-Adun UMNO Selangor yang ada sekarang.
Jamal
mungkin ada kekurangannya yang tertentu, tetapi jika beliau dikuburkan
lebih awal, watak pengganti sepertinya tiada lagi dalam UMNO. UMNO akan
terus sepi dan hilang keceriaannya.
No comments:
Post a Comment