Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
PETALING JAYA: PKR gagal mencapai tahap yang lebih tinggi sebagai parti
politik kerana masih terperangkap dalam agenda individu Ketua Umumnya,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas pengasas PKR, Dr. Chandra Muzaffar berkata meskipun sudah hampir
dua dekad, PKR masih fokus soal pembebasan Anwar dan dilihat gagal
menjuarai isu-isu semasa dalam negara ini.
Malah, tindakan Anwar menulis warkah tujuh muka surat, menzahirkan
kekesalannya terhadap beberapa pemimpin PKR yang padanya 'terpukau'
dengan pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
menunjukkan Anuar resah, betapa perjuangan untuk kebebasannya bukan lagi
keutamaan parti itu, kata Chandra.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN)
menandatangani Deklarasi Rakyat tajaan Mahathir untuk menggulingkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Agenda Deklarasi Rakyat itu jauh menyimpang daripada perjuangan PKR
sebelum ini untuk membebaskan Anwar yang di penjara akibat kesalahan
sodomi.
"Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dan melihat kepada usia
penubuhannya selama 17 tahun, PKR masih terperangkap dengan isu
individu.
"Sepertimana terbukti dalam surat Anwar dari penjara, dan reaksi dari
rakan-rakan seperjuangan. Ini jelas menunjukkan bahawa PKR belum
mencapai tahap yang lebih tinggi. Ia belum berjaya membebaskan dirinya
daripada politik seorang individu.
"Malah saya berani katakan, bahawa Anwar sendiri mahu PKR terus
menjadikan beliau sebagai fokus. Itu yang menjadi masalah. Sebab beliau
mahu nasibnya sebagai fokus, apatah lagi ketika dipenjarakan," kata
Chandra dalam satu temubualnya bersama Antarapos.
Chandra kemudiannya mengingatkan PKR bahawa mana-mana parti politik
yang berjuang untuk individu tidak akan berjaya dan tidak mampu bertahan
lama.
"Sebuah parti politik tidak boleh maju, gagal mencapai cita-cita atau
tahap yang tinggi dalam perjuangannya jika masih terikat dengan faktor
seorang individu," katanya lagi.
Selepas Anwar dipenjarakan, nama PKR mulai merudum. Kepimpinan lemah
pengganti Anwar iaitu isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail memburukkan lagi keadaan.
Azizah juga amat perlahan menyatakan responnya dalam sesuatu isu
menjadikan PKR kini amat pasif dan hanya digerakkan beberapa pimpinan
kanannya seperti Timbalan Presidennya, Datuk Seri mohamad Azmin Ali,
Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, serta Naib Presidennya, Nurul Izzah
Anwar.
No comments:
Post a Comment