Sunday, June 26, 2016

Gerakan ramal PRU14 tahun depan

 Wei Hoong


B erbekalkan semangat kemenangan besar BN dalam pilihan raya Sarawak serta pilihan raya kecil berkembar baru-baru ini, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong meramalkan pilihan raya umum ke-14 akan diadakan pada tahun 2017.

Ramalan itu, katanya, bersandarkan kepada momentum sokongan rakyat terhadap BN yang telah meningkat.

"Sokongan rakyat telah meningkat. Jadi, adalah bermanfaat untuk mengadakannya lebih awal (pilihan raya)...

"Saya rasa pilihan raya akan diadakan tahun depan. Saya tidak fikir ia akan diadakan pada 2018," kata menteri di jabatan perdana menteri itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu pemberita bahawa pilihan raya umum ke-14 akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, Najib berkata, beliau tidak tahu sambutan Hari Raya pada tahun bila yang dirujuknya.

"Saya hanya boleh berkata pilihan raya umum akan diadakan selepas Aidilfitri. Tetapi Hari Raya tahun bila, saya tidak tahu," katanya yang dipetik akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyifatkan Barisan Nasional (BN) belum lagi bersedia untuk pilihan raya umum (PRU).

"Kami agak gembira (dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil berkembar) tetapi kita begitu selesa lagi.

"Saya tidak fikir sudah tiba masa untuk mengadakan PRU lagi. Saya rasa kita perlu menunggu untuk 2018," katanya.

Terdahulu, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam mengatakan beliau akan mengadakan pilihan raya umum tahun depan jika dia adalah Perdana Menteri, berikutan kemenangan besar BN dalam pilihan raya kecil berkembar.

No comments: