Isnin, 18 April 2016

Rafizi mula seret masuk penjara bersama beliau esok

MALAYSIA DATELINE


Rafizi mula kempenRafizi mula kempen


Mulai esok, ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan memulakan usahanya untuk menyeret semua yang terlibat dengan skandal 1MDB bersama beliau memasuki penjara.

"Esok (Isnin 18/4) saya akan mulakan kempen #1MDBWanted dengan laporan polis terhadap Jho Low. Setiap minggu kita tumpu kepada individu berbeza berdasarkan penemuan di dalam Laporan PAC Mengenai 1MDB," kata Rafizi dalam kenyataannya.

Dalam forum anjuran Pakatan Harapan di Shah Alam 14 April lepas, Rafizi berjanji akan menyeret sama semua yang terlibat dengan skandal 1MDB untuk bersama-sama beliau masuk penjara.

"Saya tidak mempunyai banyak masa dah, paling lama setahun lagi, saya akan dimasukkan. Jadi saya berjanji, dalam masa yang ada ini saya akan menyeret semua yang terlibat dengan 1MDB untuk menyertai saya," kata Rafizi di forum itu.

Rafizi kini berhadapan dengan pelbagai tuduhan jenayah oleh kerajaan Malaysia. Yang terakhir adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang membawa hukuman penjara kepada beliau.

"Saya bersedia untuknya, namun saya tidak akan masuk bersendirian. Saya akan seret mereka semua bersama saya," kata Rafizi dalam forum yang penuh sesak dengan hadirin itu.

Turut serta menjadi penal dalam forum itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Tony Pua, Cynthia Gebriel dan Khalid Samad manakala moderatornya adalah wartawan The Malaysian Insider, Zulkifli Sulong.

Menurut Rafizi dalam kenyataannya hari ini, ia akan bermula dengan penasihat perniagaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Jho Low.

"Laporan polis terhadap Jho Low akan dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada hari Isnin, 18 April jam 11.30 pagi. Saya galakkan kemudiannya seberapa ramai pimpinan PH, aktivis dan rakyat biasa turut membuat laporan polis terhadap Jho Low menggunakan contoh laporan yang saya akan edarkan," kata Rafizi dalam kenyataan itu.

Beliau juga meminta jasa baik mereka yang membuat laporan #1MDBWanted kemudiannya menghantar maklumat laporan (seperti No Laporan dan lain-lain) kepada beliau di pautan yang beliau akan umumkan esok.

Bagi Rafizi, hanya tekanan rakyat yang akan menggoncang mereka yang terlibat di dalam 1MDB untuk tampil memberi kenyataan mengenai penglibatan Najib di dalam skandal ini.

Tiada ulasan: