Oleh Muhammad Asyraf Azlan
SHAH ALAM: PAS melahirkan rasa terkilannya ekoran Parti Amanah Negara
(PAN) turut meletakkan calon di lima kerusi yang sama dengan parti itu
di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Menurut Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee, keadaan ini akan
menyebabkan undi pembangkang akan berpecah kepada dua dan ini akan
memberikan peluang yang besar kepada Barisan Nasional (BN) di Dewan
Undangan Negeri (DUN) terbabit.
PAS sebelum ini pernah menyatakan supaya PKR, DAP dan PAN untuk tidak
meletakkan calon di kawasan DUN yang sama namun perbincangan dengan PKR
menemui kegagalan.
"Mereka hendak bertanding kita tidak dapat halang tapi kita tengok
nanti sebanyak mana mereka mampu dapat, yang penting kita sudah buat
kerja di kawasan ini (kerusi PAS) sudah lama.
"Kita yakin tapi kami rasa terkilan kerana perkara ini akan memberikan
kelebihan kepada BN kerana pecah undi pembangkang aka memberikan peluang
besar kepada BN," katanya ketika dihubungi Antarapos.
PAN dan PAS akan bertanding di lima kerusi yang sama iaitu DUN Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, dan Beting Maro.
Menurut Jofri, tindakan PAN bertanding di kerusi PAS memberi gambaran
jelas matlamat sebenar mereka yang ingin menghapuskan PAS.
"Sekarang ini matlamat mereka jelas ingin menghapuskan PAS memang bila
kita tengok dalam 'Facebook' mereka kata ingin menguburkan PAS
seolah-olah PAS ini bergabung dengan BN.
"Sedangkan tempat yang PAS bertanding memang dengan BN tapi tidak tahu
apa matlamat sebenar mereka adakah ada tujuan lain,"ujarnya.
Jofri juga mempersoalkan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) pernah
memberitahu akan memastikan hanya pertandingan dua penjuru yang berlaku
iaitu antara pembangkang dan BN tetapi perkara sebaliknya berlaku.
"Dulu dia kata dia tidak mahu bertembung dengan Parti Islam bila
berlaku perkara sekarang ini sudah jelas matlamat mereka sebenarnya.
"Mereka hendak menggantikan PAS bukan semudah menggantikan 'tayar'
mereka masih baru tidak sampai setahun kita (PAS) sudah melebihi 60
tahun,"katanya lagi.
PAN mengumumkan 13 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 7 Mei depan.
Pengarah Pilihan Raya PAN, Dr Hatta Ramli berkata pihaknya tiada
masalah untuk berdepan dengan lawan daripada mana-mana parti selain
gabungan Pakatan Harapan.
Setakat ini hanya DAP yang masih belum mengumumkan senarai calon mereka.
No comments:
Post a Comment