Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) hari
ini mempersoalkan sistem baru untuk menaik taraf perkhidmatan teksi yang
akan dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tidak lama lagi.
Menurut Timbalan Pengerusinya, Kamarudin Mohd Hussain pihak persatuan
teksi hairan dengan idea pelaksanaan itu yang diumumkan oleh Timbalan
Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang tiada penglibatan
daripada persatuan teksi di negara ini.
Malah mereka turut tidak dipanggil untuk memberikan sebarang pandangan atau pendapat mengenai pelaksanaan itu.
"Mereka ini (SPAD) nak lakukan transformasi (kepada industri teksi)
ambik idea daripada mana? Adakah daripada pihak berkepentingan dalam
industri atau pihak yang mencari keuntungan.
"Setakat hari ini PERS1M atau persatuan teksi lain tidka dipanggil
untuk membincangkan formula ini, (kami hairan) idea ini daripada mana?,"
soal Kamaruddin.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan memberitahu bahawa kerajaan akan
mengumumkan satu bentuk transformasi perkhidmatan teksi, termasuk
pengenalan sistem tunggal baru menerusi online dan aplikasi telefon
mudah alih yang lebih bersepadu.
Ia bagi membolehkan perkhidmatan teksi negara ditambah baik selain
meningkatkan imej perkhidmatan berkenaan dalam kalangan masyarakat.
Perkara itu kini giat diperincikan oleh Kementerian Pengangkutan dan
SPAD bagi memperkenalkan sistem baharu serta butiran transformasi
berkenaan sebelum diumumkan.
Terbuka terima pembaharuan
Bagaimanapun, beliau yang mewakili Pemandu Teksi 1Malaysia menerima
baik langkah kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan teksi yang
dibelenggu pelbagai masalah dengan kewujudan aplikasi dalam talian
seperti Uber dan Grabcar.
"Kita (PERS1M) menyambut baik segala apa sahaja perubahan dan
penambahbaikan cuma sebelum kami melalui transformasi yang akan
dilakukan kerajaan.
"SPAD seharusnya ditransformasikan kerana selama ini setelah sekian
lama ditubuhkan, SPAD tidak mampu mewujudkan sebarang program yang bagus
untuk industri teksi, semua program yang dibuat rosak," katanya.
Pelaksanaan itu kata Kamarudin perlulah selari dengan kehendak pemandu
teksi yang berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan teksi dari semasa ke
semasa demi kepuasan dan keselesaan penumpang.
"Pemandu teksi bersedia untuk menyahut seruan kerajaan cuma masalah
pokok yang dihadapi pemandu teksi itu harus diselesaikan, jangan kita
nak buat satu program yang bagus tetapi masalah yang menghalang pemandu
teksi itu tidak diselesaikan terlebih dahulu," katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan membentangkan penyelesaian dan
dasar yang adil serta saksama membabitkan pemandu teksi dan perkhidmatan
pemandu kereta Uber serta Grabcar di Malaysia dalam tempoh terdekat.
Perkara itu diumumkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Isu perkhidmatan teski kembali mendapat perhatian berikutan sekumpulan
pemandu teksi yang melakukan mogok di Bukit Bintang yang membantah
perkhidmatan Uber dan Grabcar yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.
No comments:
Post a Comment