Dalam pertemuan itu, Khairy turut dibawa melihat
prasarana dan kemudahan yang dimiliki JDT seperti pusat latihan,
gimnasium dan padang tertutup di Padang Seri Gelam.
PETALING JAYA : Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mengadakan pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim membincangkan pembangunan bola sepak negara.
Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Menteri Belia dan Sukan itu turut dibawa melihat prasarana dan kemudahan yang dimiliki JDT seperti pusat latihan, gimnasium dan padang tertutup di Padang Seri Gelam.
TMJ yang merupakan pemilik Johor Darul Ta’azim (JDT) bertitah, perjumpaan tersebut membolehkan Khairy mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan pembangunan sukan bola sepak di Johor terutamanya projek JDT dan program-program belia yang diinginkan.
“Perjumpaan ini amat positif dimana kami dapat duduk semeja, membincangkan halatuju, berkongsi pendapat dan mendapat jalan penyelesaian untuk memperbaiki bola sepak tanahair dan juga program yang melibatkan belia,” titah baginda.
Tunku Ismail dalam masa yang sama turut memuji Khairy atas usaha dan kerja kerasnya untuk sukan dan belia di negara ini.
Sebelum ini, Tunku Ismail mencabar beberapa individu penting dalam bola sepak negara untuk berdebat secara langsung di televisyen berkaitan isu kemerosotan sukan itu yang mempunyai ramai peminat di negara ini.
Antara individu yang disenaraikan termasuk Khairy, wakil FAM iaitu jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee; Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim; dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya tidak bersetuju perdebatan secara terbuka, sebaliknya bersedia mengadakan perbincangan secara tertutup.
No comments:
Post a Comment