BERNAMA
Suruhanjaya Pilihan Raya menamatkan proses penamaan calon bagi
pilihan raya negeri Sarawak semalam yang berlangsung selama sejam
bermula 9 pagi, menerima sebanyak 230 kertas pencalonan namun, dua calon
menang tanpa bertanding dan kertas pencalonan bagi dua calon lain
ditolak.
Calon yang termuda bertanding dalam pilihan raya kali ini ialah
Leslie Ting Xiang Zhi, 25, yang bertanding di Stakan mewakili DAP
manakala calon tertua ialah Datuk Seri Wong Soon Koh berusia 73 tahun
yang mewakili BN bertanding di Bawang Assan.
Bercakap pada sidang media di Pejabat SPR Sarawak di sini, hari ini,
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim
Abdullah berkata, kertas pencalonan calon PKR bagi Dun Pantai Damai dan
calon Bebas di Kuala Rajang ditolak kerana kedua-duanya didapati tidak
layak bertanding.
Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak,
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Naib Presiden Kanan PBB
menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi Dun Bukit Sari.
Manakala Datuk Abdul Rahman Ismail juga dari PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi Dun Bukit Kota.
Menurutnya, BN akan bertanding di 80 Dun, PKR (40 Dun), DAP (31 Dun),
Parti Amanah Negara (13 Dun), PAS (11 Dun), STAR (11 Dun), PBDS Baru (5
Dun) selain 35 calon Bebas turut
Bilangan calon lelaki turut mengatasi calon wanita dengan masing-masing 204 orang dan 22 orang.
Dalam pada itu, sebanyak lima Dun akan menghadapi pertandingan lima
penjuru iaitu di Batu Kitang melibatkan calon BN, DAP, PKR dan dua calon
Bebas; Bukit Semuja (BN, DAP, PBDSB, Star dan Bebas); Dudong (BN, DAP,
Star dan dua calon Bebas); Bawang Assan (BN, DAP, Star dan dua calon
Bebas); dan Jepak (BN, Pas, PKR, Star dan calon Bebas).
Sebanyak 12 kawasan akan menghadapi pertandingan empat penjuru, 27
kawasan pertandingan tiga penjuru, 36 kawasan pertandingan satu lawan
satu, katanya.
Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang
mempertahankan kerusi Tanjung Datu akan ditentang calon PKR Jazolkipli
Numan.
Ditanya mengenai anggaran penjimatan perbelanjaan SPR bagi PRN11
memandangkan dua kawasan tidak dipertandingkan kerana calon menang tanpa
bertanding, Mohd Hashim berkata pihaknya tidak dapat membuat anggaran
itu buat masa ini.
SPR memperuntukkan RM135.6 juta bagi mengendalikan PRN11. Terdapat 1.13 juta pengundi pada pilihan raya negeri kali ini.
Sementara itu, SPR menjangka keputusan awal PRN11 pada 7 Mei ini
dapat diperoleh mulai 6 petang dan keputusan penuh pada 11 malam.
Beliau berkata SPR melantik 62 pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau pilihan raya itu.
Bagi memudahkan urusan pengundian, pemilih berdaftar boleh membuat
semakan maklumat pengundian melalui panggilan ke ibu pejabat SPR
Putrajaya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, sistem khidmat
pesanan ringkas atau melalui laman sesawang SPR www.spr.gov.my
No comments:
Post a Comment