Sabtu, 23 April 2016

Premis terbuka jadi tempat ular berlindung

SINAR HARIAN


Ular
Gambar Hiasan.


KUALA LUMPUR - Premis terbuka seperti sekolah dan kawasan taman permainan kanak-kanak berisiko menjadi tempat haiwan berbisa seperti ular untuk berlindung ketika cuaca panas melanda negara ketika ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata kawasan yang tidak didiami atau dikunjungi manusia dalam tempoh 24 jam, boleh menjadi tempat untuk ular berlindung dan mencari makanan.

"Misalnya di sekolah, kebanyakan tempoh pelajar berada di kawasan itu adalah separuh hari dari pagi hingga ke petang manakala pada waktu malam dan hujung minggu pula tidak berpenghuni.

"Ini akan meningkatkan keberangkalian ular memasuki kawasan sekolah seperti di kantin untuk mencari tempat berlindung daripada panas selain kawasan itu mempunyai banyak sumber makanan seperti tikus dan katak," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang murid perempuan tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Hashim 1, Pengkalan Chepa, Kelantan yang maut dipercayai dipatuk ular berbisa di premis sekolah itu pada 19 April lepas.

Dr Tengku Rinalfi berkata sekolah perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mengadakan taklimat kepada pelajar mengenai langkah awal yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan ular.

Selain itu, taklimat juga perlu menjurus kepada pengetahuan asas berkenaan bantuan yang perlu dilakukan sekiranya dipatuk ular.

"Sekolah dan pihak berkuasa tempatan juga perlu melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa di kawasan padang sekolah dan taman permainan yang dipercayai boleh menjadi habitat haiwan berbisa itu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah dan Pakar Rujuk di Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ahmad Khaldun Ismail menggariskan beberapa langkah bantuan segera kepada mereka yang dipatuk ular.

"Langkah pertama ialah mangsa yang berada dalam keadaan cemas selepas dipatuk perlu ditenangkan, kemudiannya dibaringkan serta elakkan sebarang pergerakan fizikal.

"Seterusnya, balut kawasan yang digigit dengan kain bersih seperti kain anduh dan longgarkan pakaian yang ketat sebelum dibawa segera ke hospital atau klinik berdekatan," katanya.

Sepanjang Mac lepas, sebanyak 3,780 ular ditangkap di kawasan awam dan kediaman di seluruh negara yang dikaitkan dengan fenomena El Nino.

Menurut JPAM, daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 499 kes, diikuti Perak (431), Terengganu (430) dan Wilayah Persekutuan (427).

Pada 19 April lepas, murid perempuan SK Dato' Hashim 1, Pengkalan Chepa Nuriey Nadhirah Roslan, 7, maut selepas dipercayai dipatuk ular ketika bermain di kawasan taman di hadapan kelasnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh kekurangan oksigen dalam badan kesan gigitan haiwan berbisa. - Bernama


Tiada ulasan: