Jumaat, 22 April 2016

Penduduk pedalaman Sabah diugut tarik bantuan jika hadir program DAP

Slide1


KENINGAU: DAP Sabah mengutuk tindakan terdesak pihak yang mengancam penduduk di sebuah kampung di daerah Pensiangan supaya tidak menghadiri perjumpaan DAP dengan ugutan bantuan kerajaan kepada mereka akan ditarik.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 14 April 2016 yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Sinua, Mukim Lanas Sook, Junas Laimin di balai Polis Keningau di sini oleh DAP Sook.

Surat itu mengugut bahawa bantuan dan skim yang telah diluluskan kerajaan seperti E-Kasih dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bakal ditarik balik sekiranya mana-mana penduduk terlibat dalam perjumpaan yang dianjurkan DAP Cawangan Sook pada 16 April 2016 di salah sebuah kediaman ahli di sini.

Petikan daripada surat itu menyatakan: “Untuk makluman, kepada penduduk Kg. Sinua yang ada memohon E-Kasih sudah pun diluluskan oleh kerajaan dan mereka yang sudah mendapat rumah PPRT diingatkan agar tidak menghadirkan diri dalam perhimpunan tersebut kerana pemimpin masyarakat akan menyenaraikan nama anda dalam senarai nama yang menentang kerajaan dan menyokong pembangkang.”

stephen wong2 

Menyifatkan ada pihak yang semakin tertekan dan takut, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fat, berkata DAP sama sekali tidak akan mengalah dengan segala cabaran dan ancaman yang dikenakan terhadap ahli dan penyokongnya.

“Ini manifestasi terdesak sesetengah pihak yang tidak senang dan berasa takut dengan gerak kerja DAP di kawasan pedalaman. Ia jelas bercanggah dengan semangat demokrasi dan kebebasan rakyat untuk berpersatuan yang terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak akan mengalah dengan ugutan ini dan kita akan teruskan usaha kita memberi khidmat dan mengetengahkan segala masalah rakyat di pedalaman khususnya isu kemudahan asas dan sebagainya,” tegas Stephen ketika dihubungi Roketkini.

Melahir rasa kecewa dan terkejutnya, Pengerusi Protem DAP Sook, Clare Simbat Taunek, pula menyatakan ugutan sedemikian bersifat menghalang penduduk kampung untuk terlibat dalam proses demokrasi.

“Jika perjumpaan dengan ahli-ahli parti pun dilarang, apalagi menyokong atau mengundi. Ini mampu memudaratkan sistem demokrasi berperlembagaan kita.

“Surat itu secara jelas mengugut penduduk-penduduk kampung, melanggar hak-hak demokratik dan kebebasan untuk menyertai politik demokratik, memberi dan menerima maklumat kepada dan daripada ahli-ahli politik, secara am dan khususnya berkaitan dengan parti DAP,” ujar beliau kepada Roketkini.

Selain itu, Clare berkata tindakan Junas mengugut penduduk menggunakan skim dan peruntukan kerajaan seperti E-Kasih dan perumahan PPRT jelas merupakan salah guna kuasa.

Di penghujung surat itu Junas menyatakan beliau ‘yang menurut perintah’ dan ini juga jelas bermakna beliau tidak bertindak sendirian.

“Jadi kita mohon pihak polis menyiasat siapakah yang memberikan ‘perintah’ untuk melarang penduduk kampung dari menghadiri aktiviti parti ini,” ujar beliau.

Slide1 

Penyelaras DAP Parlimen Pensiangan, Adrian Lasimbang, berpandangan tindakan memainkan politik ugut sebegini akan berlanjutan terutamanya menjelang pilihanraya umum akan datang.

“Apalagi jika pihak lawan melihat sokongan terhadap DAP semakin meningkat seperti apa yang kita lihat dalam lawatan DAP Sabah di pedalaman Pensiangan. Sambutannya amat baik dan penduduk kampung juga tidak segan atau takut untuk turut serta memeriahkan program kita.

“Penduduk kampung yang terpinggir ini sudah terlalu lama tidak melihat ada pilihan yang memberi ‘harapan’. Bila kita dating, ia beri semangat baru dan memberi mereka lebih pilihan untuk memilih pemimpin baru, lebih-lebih lagi yang di kalangan orang muda,” kata beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: