Khamis, 7 April 2016

PAC: Prestasi kewangan 1MDB 'kurang memuaskan'

SINAR HARIAN


1MDB
1MDB
 
 
KUALA LUMPUR - Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat strategik itu 'kurang memuaskan', yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

Namun, PAC mendapati bahawa kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC berkata 1MDB bergantung kepada hutang dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk, sebagai modal syarikat, dengan sebahagian hutang tersebut mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.

"Tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding aliran tunai syarikat.

"Oleh itu, 1MDB bergantung kepada pembiayaan semula sebagai pembayaran balik hutang matang, dan mengambil hutang baharu, antara lain untuk pembayaran faedah hutang sebelumnya," menurut laporan itu.

Laporan tersebut menjelaskan model perniagaan 1MDB yang terlalu bergantung kepada pinjaman mengakibatkan syarikat tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai pinjaman dan kos operasinya.

Laporan setebal 106 halaman itu turut mendedahkan terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci, termasuk penelitian impak terhadap aliran tunai syarikat.

"Pihak Lembaga Pengarah didapati gagal melaksanakan tanggungjawab dan menjaga kepentingan syarikat dan pemegang saham, serta tidak mengambil tindakan proaktif dalam meneliti aktiviti pihak pengurusan dan aliran tunai hadapan syarikat.

"Lembaga Pengarah perlu mengawal selia dengan lebih rapi, termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang," kata laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat itu hari ini.  

PAC berpendapat Lembaga Penasihat syarikat perlu dimansuhkan bersama Artikel 117 dalam memorandum dan artikel syarikat, dengan segala rujukan kepada Perdana Menteri perlu ditukar kepada Menteri Kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Anak-anak syarikat dan aset milik kumpulan 1MDB seperti Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, tanah Air Itam, dan tanah Pulau Indah, seharusnya diserahkan kepada MKD supaya dapat dikawal selia dan diuruskan dengan lebih rapi dan teliti.

Setelah beroperasi lima tahun, 1MDB, anak syarikat milik penuh kerajaan, menghadapi masalah ketidakseimbangan aliran tunai pada November 2014.

Pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah pada masa itu bergantung kepada tawaran saham awam permulaan (IPO) syarikat milik penuh 1MDB, Edra Energy Bhd, untuk menjana dana yang akan digunakan untuk pembayaran balik hutang dan pembayaran faedah.

Namun demikian, IPO tersebut tidak dapat dilaksanakan atas faktor-faktor dalaman syarikat serta luaran.
Berikutan itu, kerugian pertama syarikat sebanyak RM665 juta, yang diumumkan pada November 2014, menyebabkan keyakinan terhadap syarikat itu terhakis.

Susulan itu, 1MDB tidak dapat membiayai semula hutang sebanyak RM2 bilion, yang hampir matang pada ketika itu.

Kesimpulannya, hasil siasatan PAC sejak 19 Mei tahun lepas mendapati jumlah hutang 1MDB bermula pada tahap RM5 bilion pada 2009 dan meningkat kepada RM42 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014.

Pada Januari 2016, hutang tersebut mencecah RM50 bilion berbanding aset RM53 bilion, dengan 1MDB membelanjakan RM3.3 bilion sebagai pembayaran faedah ke atas hutang antara 1 April 2014 dan 31 Mac 2015 (anggaran yang belum diaudit). - Bernama

Tiada ulasan: