Khamis, 7 April 2016

Isu singkir MB Johor buang masa

Hishammuddin
Hishammuddin


KUALA LUMPUR - Isu menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Khaled Norden daripada jawatan Menteri Besar Johor seharusnya tidak timbul kerana kepimpinan cemerlang yang dipamerkan olehnya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, gerakan menukar menteri besar tersebut merupakan satu tindakan yang sia-sia dan membuang masa.

Katanya, beliau tetap memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpunan Mohamed Khaled.

"Saya tengok tidak sepatutnya menjadi isu kerana kepimpinan beliau di peringkat kerajaan negeri dan juga Badan Perhubungan Umno serta BN, saya tengok berjalan dengan cukup baik dan membanggakan.

"Jadi kalau ada mana-mana pihak untuk menidakkan atau memperlekehkan Johor dan kepimpinan Johor, saya mahu nyatakan di sini bahawa mereka tidak ada asas dan membazirkan masa sahaja. Saya secara peribadi memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan beliau," katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, laman Facebook, Shukur Mohamad iaitu anak kepada Speaker Dun Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, mendakwa terdapat gerakan untuk menukar Menteri Besar Johor.

Gerakan ini dikatakan diketuai oleh seorang timbalan menteri.

Timbalan menteri itu juga didakwa akan menjawat jawatan tersebut menggantikan Mohamed Khaled.

"Saya tidak tahu siapa individu itu. Isunya sudah jadi perkara yang dibincangkan. Cukup-cukuplah kerana pemimpin-pemimpin tertinggi dari Johor sudah membuat kenyataan dan hari ini saya sebagai Naib Presiden Umno yang datangnya dari Johor dan mengenali Mohamed Khalie secara dekat, isu ini tidak seharusnya timbul.

"Kalau inilah pendirian kita, siapalah dia. Saya tidak tahu di Johor ini boleh menidakkan suara-suara pemimpin Johor yang memegang jawatan diperingkat tertinggi parti dan dalam kerajaan," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan Umno Bahagian Pagoh yang mahu menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Umno Bahagian, Hishammuddin berkata, perkara itu bukan menjadi keutamaan parti dan ia merupakan kehendak Umno Pagoh.

"Kalau ada apa-apa tindakan di peringkat bahagian, itu hak ahli-ahli Umno kita di Pagoh. Kalau sekiranya kedudukan Ketua Umno Bahagian Pagoh,  kedudukannya di peringkat parti, ia harus diputuskan oleh Majlis Tertinggi.

"Saya tengok ia membazirkan masa kerana saya nak lihat kehadapan dan yang penting adalah kita rapatkan barisan. Kita selesaikan perkara-perkara yang rakyat nak tahu berbanding kita bercakaran sesama kita dalam parti," katanya.


Tiada ulasan: