Sabtu, 23 April 2016

Muhyiddin, Shafie, Mukhriz tak wajar wakili Umno, BN lagi

Shakira Buang  




Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam berkata kumpulan penentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lagi layak untuk mewakili Umno dan BN kerana mengkhianati perjuangan parti dengan melemparkan pelbagai fitnah terhadap presiden mereka.

Justeru, katanya pemimpin berkenaan tidak wajar dibenarkan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang di bawah tiket BN.

"Jika mereka (Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz) tidak menyokong Umno dan perdana menteri maka tidak wajarlah mereka mewakili Umno (pada pilihan raya umum akan datang)," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang juga adalah pengerusi PUNB berkata demikian ketika ditanya sama ada ketiga-tiga pemimpin tersebut masih layak untuk bertanding bagi mewakil kerusi Umno dan BN pada pilihan raya akan datang.

Ali berkata, Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz bukan saya tidak layak mewakili Umno malah mereka tidak layak untuk berada dalam barisan Ahli Majlis Tertinggi parti.

"Jika mereka terus mempertikaikan kepimpinan dan Umno, tak sependapat dalam keputusan yang diputuskan Majlis Tertinggi maka tidak wajarlah untuk mereka terus berada dalam Majlis Tertinggi.

"Ini memang disiplin parti dari dulu, kalau tak setuju cakap dalam Majlis Tertinggi, bila dah diputuskan itulah yang kita pegang tak boleh kata setuju tapi di luar tak setuju, inikan pula mempertikaikan Umno, perdana menteri serta keputusan yang telah diputuskan bersama maka tak wajarlah kita berada dalam kumpulan yang sama," katanya.

Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz antara pemimpin Umno yang lantang membidas perdana menteri, terutamanya melibatkan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.


Tiada ulasan: