Rabu, 20 April 2016

Mufti Kelantan: Histeria ada kaitan dengan El Nino

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI

Kejadian histeria mempunyai kaitan dengan cuaca panas akibat El Nino yang melanda sekarang, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Berita TV1 semalam melaporkan Shukri sebagai berkata, cuaca panas boleh pengaruhi kehidupan manusia, seperti cara berfikir yang menyebabkan seseorang cepat melenting dan tertekan.

“Tekanan panas itu boleh membawa kepada pelbagai kesan yang tidak baik,” katanya dalam rakaman yang dimuat naik di Youtube.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid turut berkongsi video itu di Facebook beliau dengan kapsyen ringkas: “Pandangan mufti”.

Isnin lepas, lebih 50 pelajar perempuan dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa II dilapor diserang histeria beramai-ramai.

Berikutan kejadian itu, cuti peristiwa selama sehari diberikan kepada sekolah berkenaan Khamis lepas bagi mengelak lebih ramai pelajar mengalami histeria.

Utusan Online difahamkan, kejadian histeria bermula pagi Selasa minggu lepas selepas seorang pelajar perempuan rebah dan meracau-racau sebelum ‘berjangkit' kepada beberapa pelajar lain termasuk guru perempuan.

Sesi pem­belajaran di semua kelas terganggu.


Situasi mencemaskan tersebut dikatakan berlarutan selama tiga hari berturut-turut termasuk apabila seorang demi seorang pelajar turut diserang perkara sama.

Sementara itu, laporan TV3 juga menyebut histeria didorong faktor ketakutan kepada hantu yang dipupuk sejak kecil.

Sepatutnya daripada kanak-kanak dididik menjadi berani sejak awal, tambahnya lagi.

“Makhluk halus ini memang ada tetapi kita seharusnya mendidik anak jangan jadi anak-anak yang penakut, anak-anak yang mindset sentiasa berfikir tentang perkara negatif,” kata Shukri.

Sekolah terlibat disaran menganjurkan acara kerohanian seperti solat hajat dan bacaan al-Quran.

Tiada ulasan: