Ahad, 10 April 2016

Mr Os: Pergimu tiada ganti, jasamu tidak berbelah bahagi





OLEH: KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
 

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham Mohd Yusof Abd Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan Os.

Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari yang mulia, penghulu segala hari iaitu hari Jumaat.

Perginya sebuah permata tanah air, seorang seniman yang serba boleh; bukan sahaja sebagai seorang pelakon, pelawak dan pengacara, lebih dari itu beliau juga merupakan seorang pendakwah.

Allahyarham sangat dikenali di dalam dunia seni tanah air terutamanya dalam bidang lakonan dan sebagai pelawak tanah air. Antara lakonan Allahyarham yang popular suatu masa dulu ialah Mr Os, Awang Spanar dan juga Adik. Bakat lawak Allahyarham juga sangat menyerlah apabila berjaya menjuarai Pertandingan Maharaja Lawak Mega 2011 bersama kumpulan Osbon.

Namun begitu, di akhir usia beliau, Allahyarham banyak terlibat dalam siri-siri dakwah. Antaranya program Santai Bersama Murobbi bersama Ustaz Azhar Idrus.

Bahkan, sehingga ke hari terakhir beliau, Allahyarham sepatutnya bersama Ustaz Azhar Idrus dalam program Santai Bersama UAI & Mr Os di Terengganu.

Sesungguhnya, Allahyarham mengakhiri perjalanan dunianya dengan kerja-kerja dakwah dan perjuangan Islam sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Patah tumbuh, hilang tiada gantinya. DPPM mendoakan agar Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Semoga jasa dan pengorbanan Allahyarham di akhir usianya menjadi suntikan dan motivasi buat kami, anak muda.

Al-Fatihah.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Pengarah DACS Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
9 April 2016 | 1 Rejab 1437

Tiada ulasan: