Ahad, 10 April 2016

Halang masuk Sarawak: SPR tidak terlibat

 
Kuasa menghalang ahli politik atau individu tertentu memasuki Sarawak hak mutlak kerajaan Sarawak dan Imigresen Sarawak.


Hashim-Abdullah_spr_sarawak_600


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pihaknya tidak terlibat menghalang kemasukan pemimpin parti politik atau mana-mana individu daripada memasuki Sarawak.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, kuasa tersebut merupakan hak mutlak kerajaan Sarawak dan juga terletak hak kepada pihak imigresen Sarawak.

“Oleh yang demikian, sekiranya ada mana-mana ahli parti politik atau individu telah atau akan dihalang daripada memasuki negeri Sarawak semasa pilihan raya atau pada bila-bila masa, ini bukanlah dalam bidang kuasa pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Hashim lagi, SPR juga tidak akan sesekali mencampuri bidang kuasa pihak berkuasa.

“SPR akan sentiasa menghormati segala tindakan pihak berkuasa lain dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing selaras dengan perundangan sedia ada,” ujar beliau lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menjadi ahli politik pembangkang terbaru yang dihalang memasuki negeri itu. Manakala, pereka maskot burung kenyalang ‘Ubah’, Ooi Leng Hang juga hari ini disahkan dihalang memasuki negeri berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini telah mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri itu akan dibubarkan pada 11 April ini.

Tiada ulasan: