Wanita berusia 28 tahun itu datang dengan satu misi;
memperkenalkan dirinya sebagai calon bagi DUN Marudi untuk Pilihanraya
Negeri (PRN) kali ini.
MARUDI: Ketibaan Elia Bit ke sebuah rumah panjang di sini semalam disambut mesra tuai rumah dan penduduk lain, yang turun bersalaman menyambut ketibaannya.
Berbual sesama sendiri mereka saling melontarkan pandangan tanda ingin tahu kedatangan Elia Bit ke kawasan tersebut.
Wanita berusia 28 tahun itu datang dengan satu misi; memperkenalkan dirinya sebagai calon bagi DUN Marudi untuk Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini.
Walaupun sudah lebih setahun berkhidmat dan bertemu dengan masyarakat di kawasan itu, tindakan ‘menembus masuk’ ke rumah panjang bukanlah sesuatu yang mudah.
Beliau membangkitkan soal Ordinan Ketua Masyarakat 2004 yang memberikan kuasa kepada kerajaan negeri melantik tuai rumah panjang di negeri itu.
“Peranan masyarakat untuk memilih sendiri Tuai Rumah mereka sudah dirampas oleh kerajaan negeri, yang tentunya melantik mereka yang pro-kerajaan sahaja. Malah sebelum ini, ada anggota PKR yang diserang tuai rumah apabila cuba masuk ke rumah panjang,” katanya, merujuk kes seorang ahli PKR yang ditampar Tuai Rumah Hillary Jungan dari Lubok Melongo Nanga Ajoi, Sungai Tinjar, Baram – tidak jauh dari Marudi.
Justeru, sambutan baik oleh tuai rumah itu ibarat ‘bulan jatuh ke riba’, dan digunakan sebaik-baiknya olehnya untuk memperkenalkan diri dan melihat kepada reaksi penduduk, misinya ini boleh dikatakan berjaya.
‘Bukan sekadar masalah api dan air’
Walaupun sebelum ini mengakui bahawa beliau terjun ke dalam bidang politik ekoran kegagalan kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas di kawasan pedalaman, graduan Sarjana Perang Saraf Media dan Informasi itu berkata masalah masyarakat di sana tidak terhenti setakat itu.
“Kekangan media menyebabkan masyarakat di sini mendapat maklumat yang berat sebelah, ditambah pula dengan budaya masyarakat Dayak yang setia kepada pemimpin mereka.
“Pemimpin BN tahu bagaimana untuk memanipulasikannya untuk kepentingan mereka. Salah satunya melalui Ordinan Ketua Masyarakat 2004.
“Akhirnya, BN memegang sokongan tuai rumah, yang memegang sokongan penduduk rumah panjang,” katanya dalam wawancara ketika perjalanan pulang.
Beliau bertegas keperluan untuk mengubah keadaan itu. Justeru sepanjang setahun bergiat di sana, Elia gigih menerapkan nilai-nilai demokrasi, terutama hak memilih pemimpin, ketika berhadapan dengan penduduk.
‘Dibantu Cabang dan YB angkat’
Esok (25 April) merupakan hari penamaan calon dan Elia sedar akan cabaran getir yang menunggunya sepanjang sebelas hari kempen, sebelum hari membuang undi pada 7 Mei.
Beliau bakal dibantu rombongan PKR Kuala Selangor yang diketuai bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam sebagai ‘cabang angkat’ dan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sebagai ‘YB angkat’ sepanjang tempoh kempen nanti.
“Anggaran 81% daripada kira-kira 117 rumah panjang belum ada bekalan air bersih, dan anggaran 61% belum ada bekalan elektrik, kena pakai generator.
“Saya ingin beritahu kita tidak akan mati jika menukar pemimpin, dan bawa berita dari Selangor yang terus maju selepas berbuat demikian,” katanya lagi.
‘Menembus masuk’ lebih seratus rumah panjang kekal antara cabaran terbesar Elia dalam PRN kali ini, namun pengguguran penyandang, Datuk Sylvester Entri Muran pada PRN ini mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati pengundi, dan barangkali akan memberikan sedikit kelebihan kepada Elia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan