Ahad, 24 April 2016

'Cawangan Umno jangan buat usul minta PM letak jawatan'

BERNAMA




Ketua-ketua cawangan UMNO disaran agar tidak mengemukakan usul yang boleh menyebabkan perpecahan parti semasa mesyuarat cawangan UMNO yang sedang berlangsung kini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua anggota UMNO perlu memberi sokongan kepada pemimpin bagi memastikan sesebuah kerajaan dan institusi dapat dipertahankan.

"Tak payahla cawangan buat usul bukan-bukan, jika buat maknanya bermulalah perpecahan antara kita. Ini yang pembangkang nak, melihat UMNO berpecah. Jangan buat usul nak suruh perdana menteri atau menteri besar letak jawatan.

"Ini negara demokrasi yang ditentukan Perlembagaan. Perdana Menteri kita ditentukan secara demokrasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Muafakat JKKK Kedah bersama Pemimpin di Alor Setar hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengenai dakwaan ugutan terhadap pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang ingin mengemukakan usul tidak menyokong perdana menteri pada mesyuarat cawangan UMNO, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata ia tidak benar.

"Setakat ini, tiada kes JKKK (yang juga Ketua Cawangan UMNO) diugut untuk tidak disambung kontrak sekiranya mengemukakan usul sedemikian. Tanggungjawab pemimpin cawangan pertahankan parti, jadi usul gulingkan pemimpin bukan tanggungjawab anggota parti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar JKKK dan Ketua Cawangan UMNO berhenti menjadi jurucakap kepada pembangkang dengan menyebarkan fitnah dan agenda pembangkang.

"JKKK sebagai barisan hadapan sepatutnya menjadi pemimpin yang mampu terangkan keadaan sebenar dan bukannya penyebar fitnah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya mempertimbangkan untuk memberi bantuan secara one-off kepada penoreh dan pekebun kecil yang terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih dalam peringkat cadangan dan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.-Bernama


Tiada ulasan: