SHAH ALAM: Pemeriksaan di lapan premis makanan di Seksyen 7 di sini
semalam tidak melibatkan isu status halal, sebaliknya kerana premis
berkenaan dikesan menggantung papan hiasan ayat Al-Quran mengandungi
kesalahan cetakan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim
berkata, antara lapan premis yang diarahkan untuk menurunkan papan
hiasan itu adalah Restoran Hakim di Jalan Zikron dan Jalan Kristal serta
Restoran Kamal & Corner di Jalan Plumbum.
“Tiada isu halal dibangkitkan dalam operasi berkenaan dan hanya
tertumpu kepada isu penggantungan ayat Al-Quran yang mengandungi
kesalahan cetakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Haris, operasi pemeriksaan secara bersepadu yang berakhir
kira-kira 12.30 tengah hari semalam dilakukan oleh JAIS bersama
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tambahnya, arahan penurunan papan hiasan ayat Al-Quran yang mengandungi
kesalahan cetakan berkenaan dibuat oleh KDN mengikut Seksyen 17 Akta
Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Kesalahan Mencetak Ayat Al-Quran).
Isu mengenai status halal Restoran Hakim di Seksyen 7 tersebar di laman sosial hari ini berikutan operasi bersepadu berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan