Selasa, 12 April 2016

Isu Dr Zakir Naik & laba politik hancing

Oleh Shazni Munir Mohd Ithnin

Siapa yang sedang menggerakkan bidak-bidak catur dalam isu yang tiba-tiba timbul ini?


zakir-naik



Bagi yang mengikuti syarahan tokoh perbandingan agama ini, pasti menyedari bahawa ini bukan pertama kali Dr Zakir Naik dibawa berkuliah secara umum di Malaysia. Kali terakhir sebelum ini telah dibuat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan ribuan anggota masyarakat berhimpit-himpit dalam program tersebut. Tajuknya lebih kurang sama seperti waktu ini, cuma bezanya ketika itu tiada bantahan MIC dan arahan pembatalan daripada Ketua Polis Negara.

Ketika itu juga – sewaktu berlangsungnya program di PWTC tersebut – telah terbit ribuan video berkenaan kuliah tokoh ini di YouTube yang dikatakan mengandungi ‘tohmahan dan kebencian’ terhadap agama-agama lain. Namun malangnya masih lagi gagal menjentik nurani mana-mana pemimpin politik untuk men’setan’kan tokoh ini. Syarahan di PWTC itu berlangsung aman dan tiada kejadian buruk selepas itu.

Tiba-tiba hari ini masyarakat jadi terpinga-pinga. Seakan timbul bantahan besar-besaran terhadap pemilik Peace TV ini. Lebih canggung apabila bantahan disuarakan dalam keadaan kuliah umum beliau di Terengganu langsung tidak menyentuh sensitiviti agama sebagaimana yang dimaksudkan. Lantas, apa sebenarnya yang berlaku? Siapa yang sedang menggerakkan bidak-bidak catur dalam isu yang tiba-tiba timbul ini?

Dalam satu kajian politik, UMNO/BN akan ‘habis’ jika 5% sahaja undi Melayu menjauhi parti tersebut. Dapatan lampu merah ini lebih memedihkan ketika UMNO masih bergelut dengan krisis kepercayaan rakyat melalui pertembungan Najib dan Mahathir. Naratifnya, Mahathir mahu Najib letak jawatan segera dan Najib pula mahu kekal sebagai Perdana Menteri selama yang boleh. UMNO pastinya tidak naif dan telah menjangka jika keadaan ini berterusan, pasti pergerakan 5% undi Melayu kepada Pakatan Harapan itu akan berlaku.

Lantas apa pilihan yang ada? Sebelum ini, bacaan politik Malaysia Timur banyak berkisar pada ‘trend’ pengundi Cina dan Melayu sahaja, memandangkan 2 komuniti ini mencakupi skop pengundi yang luas dan majoriti sifatnya. Jarang faktor undi masyarakat India yang lebih kecil skalanya ini ditelaah.

Jika wujud pun, kajian pasca ‘Makkal Sakthi’ semasa PRU-12. Maka tidak pelik jika pasukan Najib merasakan perlu untuk mereka ‘pre-mortem’ undi komuniti India sebagai ‘buffer’ jika Mahathir-Najib berlarutan hingga PRU-14 nanti. Malah lapangan ini juga yang masih belum benar-benar serius diteroka UMNO bagi menampung kelompok Melayu yang telah sedia meluat dengan Najib dan isteri.

Samada jemputan Dr Zakir Naik ke Terengganu memang telah dirancang sebelumnya oleh orang-orang kuat di Pejabat Perdana Menteri atau tidak, tidaklah mampu untuk kita mengesahkannya. Boleh jadi memang telah dirancang awal, boleh jadi tidak. Mungkin juga Dato’ Seri Razif memang ‘die-hard-fan’ Dr Zakir Naik dan orang-orang sekeliling Najib terhidu peluang yang sangat baik di balik jemputan Menteri Besar Terengganu ini.

Lantas janganlah pelik apabila UMNO sebagai pihak yang menjemput, dan UMNO juga yang ‘silent’ apabila Ketua Polis Negara (KPN) membatalkan syarahan umum ini di twitter – sebagaimana yang selalu Tuan KPN lakukan. “Naib Ketua Pemuda UMNO ada keluar kenyataan membantah!” Ya, tapi soalan kita mudah, mengapa Jamil Khir sebagai menteri yang jaga portfolio agama tidak bersuara? Ada dengar kenyataan daripada Zahid Hamidi atau Najib Razak? Yilek!

Apakah yang Najib Razak harapkan daripada isu ini? Selain jelas memberi ruang untuk polemik 1MDB ‘direhatkan’, mungkin pengganti Pak Lah Badawi ini sedang menimbang dan mengukur reaksi terkini komuniti India/Hindu. “Aduhai, takkan segalanya mahu dipolitikkan?” Tidaklah semua. Jika kita rakyat biasa mahu makan tengah hari di Line Clear Kampung Baru pasti tidak akan dipolitikkan. Tapi kalau Rosmah tiba-tiba beli beg tangan di Pasar Chow Kit, kalau pun memang dia nak ‘merasa’ halusnya buatan tiruan tempatan, tetap juga akan terkait dengan isu politik.

“Jadi apa kena-mengena dengan HINDRAF dan Persatuan Hindu Sangam yang menyuarakan bantahan? Mahu dikatakan ejen UMNO kah?” Tidaklah sampai begitu. Kita meyakini bantahan mereka asli tanpa sebarang kepentingan politik. Namun bagi politikus jijik yang berpengalaman dengan permainan kotor perkauman atau agama, ‘trigger’ yang mampu menjentik respon pantas kelompok-kelompok tertentu ini bukan sesuatu yang asing. Bezanya, skrip kali ini jauh lebih kemas dan tersusun daripada tragedi Low Yat dan kepala lembu di depan SUK Selangor.

Bantahan komuniti Hindu dan dibalas pula dengan bantahan komuniti Islam itu adalah reaksi normal masyarakat beragama. Masyarakat yang dididik dengan asuhan agama pasti tersinggung jika wujud percikan-percikan sentimen semacam ini jika tiada pihak yang mahu ‘mengetuk’ dan merasionalkan. Lebih memburukkan keadaan apabila wujud tangan-tangan kotor yang tergamak menggerakkan bidak-bidak sensitif ini semata-mata meraih laba politik hancing masing-masing. Sanggup segalanya hangus semata-mata mempertahankan kuasa dan masih ada muka bercakap depan media, “Kami tidak gila kuasa.”

Dalam perkiraan politik, isu Dr Zakir Naik ini bakal menjadi gelanggang awal untuk Najib mencondongkan sokongan komuniti India yang hilang semasa PRU yang lepas kepada Barisan Nasional. Usah terkejut jika ‘drama politik’ ini menjadi bersiri. Kalau pun ia tidak mampu mendorong keseluruhan Hindu/India menyokong Najib, sekurang-kurangnya mampu menampung ‘tsunami 5%’ jika berlaku dalam PRU-14 kelak.

Mungkin perkara ini telah selesai dilumatkan ‘war room’ UMNO dan MIC sebelum Dr Zakir Naik mencecahkan kaki ke KLIA lagi. Bayangkan, MIC yang dah lama tiada khabar berita – entah kan hidup entah mati – tiba-tiba bertengkuk semula dengan menjadi pihak paling awal membantah kuliah umum Dr Zakir Naik. Wow! Hidup MIC!

Jika isu ini laku dan ramai lagi pihak berbalas-balas ‘tembakan’, maka teramat rugi jika Najib sebagai Perdana Menteri tidak mengambil kesempatan yang ada. Walau popular seantero dunia, Najib tahu amat bahawa orang Melayu luar bandar tidak kenal langsung insan bernama Dr Zakir Naik ini. Yang pertama kali dengar pun boleh sampai hati memperolok lucah nama figura antarabangsa ini. Nampak jelas kurang tahunya Melayu Islam kepada sosok ini. Sedih!

Mungkin bagi Najib, sekadar membatalkan kuliah, kemudian beri kebenaran dengan syarat ketat (kononnya) bukan kudis yang boleh menjejaskan sokongan Melayu luar bandar kepada beliau. Asalkan sahaja masyarakat India kembali percaya kepada kepimpinannya, maka seluruhnya beres. ‘Stunt’ politik ini – walau tersangat hancing oleh pencinta damai – dirasakan sangat ‘selamat’ untuk Najib mengambil hati komuniti India dan pada masa yang sama tidak menjejaskan sokongan Melayu luar bandar.

Buat rakan-rakan India/Hindu dan Melayu/Islam, kesentosaan yang telah kita semai bawah payung toleransi dan semangat hormat-menghormati sesama kita teramat mahal harganya. Kita berkongsi hampir semua perkara. Banyak hal-hal agama yang selama ini boleh dibahas dan didebatkan dengan matang dan harmoni. Logiknya, mustahil isu Dr Zakir Naik ini boleh mengundang ketegangan agama jika tiada orang yang mahukan ianya berlaku. Segalanya seperti lancar dan teratur. Maka berhati-hatilah.

Real politik UMNO/BN sangat sukar menghormati sensitiviti agama dan kaum. Pindaan Akta 355 yang berkait dengan perundangan syariah Islam itu pun boleh wewenang dipermainkan. Sekejap mahu bentang, sekejap berkata tidak sesuai. Lantas apalah sangat dengan hal-hal agama yang bukan menjadi anutan mereka. Akhirnya, tolonglah. Pastikan kita – seluruh rakyat pelbagai kaum – tidak menjadi bidak-bidak penyembah kuasa yang hanya mahu menangguk di air keruh!

Shazni Munir Mohd Ithnin adalah Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Tiada ulasan: