Selasa, 12 April 2016

Gugurkan pemain ‘tua’ Harimau Malaya

 
Individu yang mengkritik Khairy sebenarnya adalah orang yang tidak memahami pelan pembangunan bola sepak sebenar 


safirul-azli_khairy-jamaluddin_harimaumalaya_600


PETALING JAYA: Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Safirul Azli Abu Bakar mempertahankan Khairy Jamaluddin yang menyalahkan pemain negara, selepas ranking skuad negara jatuh ke tangga 174 dunia.

Katanya, kenyataan yang dibuat Menteri Belia dan Sukan itu, selaras pendirian PPBN sebelum ini, iaitu kualiti pemain senior Harimau Malaysia tidak mampu lagi menyaingi negara lain.

Malah, Safirul sekali lagi menegaskan, semua pemain senior dalam Harimau Malaya ketika ini perlu ditukar dan digantikan pemain muda yang mampu memperbaiki prestasi skuad negara.

“Kalau nak betulkan prestasi bola sepak negara, kita kena balik kepada akar umbi, masuk balik ke akar umbi ialah membina generasi baru bermain untuk negara.

“Prestasi dan kebolehan pemain senior yang ada sekarang ini tidak mancukupi dan tidak mampu untuk mencapai lebih banyak kejayaan, malah di peringkat Asia pun tak berapa sampai.

“Pemain yang ada sekarang ini dah tak boleh ubah, kena ada pemain baru dan muda, bila pemain itu tua dan sampai di peringkat senior, tak banyak boleh ubah.

“Kalau dapat ubah pun dia tak konsisten, mungkin dia akan bermain bagus hanya untuk satu perlawanan sahaja, selebihnya tidak,” katanya kepada FMT.

Pada masa sama, Safirul turut membidas sikap segelintir individu, termasuk penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Safee Sali yang membuat tohmahan membuta tuli terhadap Khairy, tanpa melihat pelan pembangunan yang ingin dibawakan menteri tersebut.

“Saya sokong Khairy, sebab dia telah melancarkan pelan pembangunan bola sepak negara. Malah, sebelum ini tidak ada peruntukan untuk pembangunan bola sepak (seperti dibuat Khairy), perancangan Khary ini juga sudah bagus, tetapi kena sabar dan bagi masa.

“Kalau orang faham tentang pembangunan bola sepak negara, dia tak akan kritik, sebab sekarang ini, apa-apa kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ), (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) bawa akan mendapat banyak sokongan, lebih-lebih lagi penyokong JDT.

“Bila penyokong terus menerima (tanpa memahami program pembangunan yang ingin dibawa Khairy), tidak tengok fakta, itu menyebabkan berlakunya polemik.

Sebelum ini, Khairy dikritik pelbagai pihak, termasuk TMJ, susulan kenyataannya yang menyalahkan pemain negara sebagai antara punca ranking Harimau Malaya jatuh ke tangga 174 dunia, rekod terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Tiada ulasan: