MALAYSIA DATELINE
Agar
keadilan terhadap dirinya terbela Yang Dipertua Pas Kubang Kerian Datuk
Husam Musa meminta Pengerusi Siasatan Jawatankuasa Disiplin Pas Dr
Daeng Sanusi Daeng Mariok menarik diri daripada kes yang dihakiminya.
Beliau berkata, Dr Daeng Sanusi telah mengeluarkan kenyataan fitnah
dan prejudis ke atas dirinya ketika menjelangnya Muktamar Pas tahun lalu
termasuk di Kelantan, Johor dan Selangor.
“Anehnya, selepas muktamar berlalu, beliau tidak lagi menyerang saya
secara terbuka, seakan serangan itu mempunyai agenda untuk pemilihan
muktamar sahaja.” ujar Adun Salor ini.
Malah ujar Husam lagi, Dr Daeng Sanusi ketika hadir dalam satu
dialog pada 24 November 2014 di Banting,Selangor pernah mengeluarkan
kenyataan bahawa beliau terlibat dengan PasMa kononnya PasMa telah
ditubuhkan di rumahnya.
Bahkan, beliau mendakwa Husam semakin terpinggir dalam Pas dan tiada
masa hadapan disebabkan Husam telah melakukan banyak kesilapan di dalam
parti itu.
“Kenyataan dan pendirian Yang Arif itu dikira dakwaan tidak benar
yang serius kepada saya dan termasuk fitnah yang dilarang oleh Islam
pada sisi saya sebagai mangsanya.
“Saya tidak ingin memetik kod tatacara kehakiman keIslaman di sini, kerana saya kira Yang Arif lebih atau sepatutnya arif.
“Saya cuma mengingatkan, di dalam Islam, tohmahan dan sikap hakim
yang berkepentingan diambil kira dan diberi perhatian serta pertimbangan
oleh syarak kerana ia akan mempengaruhi penentuan hukum dan keputusan
penghakiman.
“Saya
dengan ini, sebagai tertuduh di depan Yang Arif, mengesyorkan demi
menjaga kemulian Parti Islam dan Islam itu sendiri, untuk menguzurkan
diri dari mengendalikan kes saya.
“Sebagai veteran parti yang mendalami pengajian Islam, Yang Arif
telah sanggup berlaku tidak adil kepada saya dan membelakangkan prinsip
tabayyun serta tidak pernah memanggil saya untuk mendapatkan penjelasan
sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan itu.
“Oleh itu, bagaimana saya boleh meyakini Yang Arif boleh berlaku adil
sekarang? Mengecualikan diri dari mengendalikan kes saya adalah lebih
menampakkan keadilan dan memenuhi tatacara kehakiman Islam.” ujar Husam
di dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Daeng Sanusi bertarikh 3
April 2016 itu.
Difahamkan Husam sehingga 8 April ini berada di Indonesia telah
memohon tempoh 14 hari diberikan untuk membicarakan kesnya di panjangkan
ke 10 hari lagi, bagi membolehkan beliau menyiapkan maklum balas secara
lebih teratur di atas segala tuduhan di dalam surat tunjuk sebab.
Jawatankuasa Disiplin telah menghantar surat tunjuk sebab bertarikh 22 Mac tetapi Husam menerimanya pada 29 Mac 2016.
“Saya terima pada 29 Mac , sekembali saya dari beberapa acara di
Kuala Lumpur, termasuk majlis Kongres Rakyat - Selamatkan Malaysia di
Shah Alam.
“Pada hari ini, 3 April (semalam), saya sudah berada di Indonesia sehingga 8April atas acara yang telah diatur lebih awal.
“Untuk berlaku adil, saya mohon supaya tempoh 14 hari yang diberikan oleh Yang Arif dilanjutkan sepuluh hari lagi.
"Ini untuk membolehkan saya menyiapkan maklum balas secara lebih teratur,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan