Isnin, 18 April 2016

Barangan 'merchandise' konsert selamba dijual secara haram, Amy Search bengang

Madiha Abdullah, Astro Awani 
 
Barangan 'merchandise' konsert selamba dijual secara haram, Amy Search bengang
AMY: 'Nak berniaga biarlah dengan cara yang betul' - Instagram akuamysearch
 
 
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan rock legenda, Amy Search, sangat terkilan apabila ada pihak yang mencetak dan menjual merchandise Konsert Search 35 tahun secara haram.

Ia disifatkan sebagai bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi juga menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap golongan penggiat seni.

Lebih menyedihkan apabila ada yang tidak segan silu menjualnya di tempat terbuka, seperti yang berlaku di tempat letak kereta Stadium Malawati, semalam.

Beberapa gambar merchandise, malah gambar si penjual juga turut dimuat naik Amy ke akaun Instagram miliknya.

Amy ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, hal berkenaan diketahui daripada peminat yang memberikan informasi tentang penjualan secara haram itu.

"Penjual itu sudah pernah ditegur sebelum ini, namun masih melakukan perkara yang sama," kata Amy.

Menjual barangan tersebut tanpa kebenaran samalah seperti mencuri, dan ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah satu dosa besar dalam agama.

"Anda memperolehi wang daripada nama dan hasil titik peluh orang lain. Cuba bayangkan anda di tempat kami, apa perasaan anda?" tambah Amy.

Beliau juga memaklumkan, Search tidak mempunyai masalah jika ada yang berminat mahu menggunakan nama mereka dalam perniagaan, namun ia perlu dibuat dengan cara yang betul.
"Datang jumpa kami dan kita boleh berbincang. Jika direction dan perancangan anda bagus serta teratur, kami tidak ada masalah.

"Pokoknya mesti guna saluran yang betul," jelasnya.

Buat masa ini, kata Amy, pihaknya belum membuat sebarang keputusan tentang tindakan yang akan diambil terhadap penjual tersebut. 
 
 

Tiada ulasan: