Jumaat, 8 April 2016

Ayah pesan ingat Allah, tutup aurat – Anak Mr Os

 
Mr Os meninggal dunia di Hospital Selayang kerana kanser paru-paru.


Mr-Os


PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih popular Mr Os, meninggal dunia hari ini kerana sakit paru-paru.

Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2.15 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata, Gombak, petang ini.

Anak Allahyarham, Mohd Hafizul, 20, berkata sebelum ayahnya meninggal, Mr Os sempat berpesan kepada anak-anak supaya ingat Allah dan sentiasa menutup aurat.
“Allahyarham lemah sejak kanser paru-paru dan tidak bekerja sejak beberapa minggu
lalu,” katanya, lapor Mstar.

Seorang lagi anak Allahyarham, Husna Yusof berkongsi berita sedih itu di laman Facebooknya.

IMG-20160408-WA0002
“Assalamualaikum dan salam Jumaat. Abah saya Mohd Yusof Bin Abdul Hamid (Mr.Os) telah kembali kerahmatullah sebentar tadi.

“Mohon ampun dan maaf dari pihak keluarga andai arwah pernah mengguris atau melukakan hati sesiapa dalam sedar atau tidak. Jenazah akan di bawa pulang ke Gombak Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham menyambut ulang tahun kelahiran ke-55 beberapa hari lalu.

Mr Os merupakan pelakon dan pelawak terkenal era 80-an dan membintangi beberapa filem sebagai pelakon utama seperti filem Adik, Mr. Os dan Balik Kampung.

Allahyarham pernah bergandingan dengan pelawak Abon dalam kumpulan Osbon dan menjuarai rancangan Maharaja Lawak Mega 2011 dan memenangi wang tunai RM350,000.

Allahyarham pernah dikatakan menyertai PAS kerana sering hadir program anjuran parti itu tetapi beliau menafikan, sebaliknya memberitahu beliau hadir hanya sebagai memenuhi jemputan.

Tiada ulasan: