PETALING JAYA: PKR kekal dengan pendirian satu lawan satu meskipun PAS
mahu bertanding di kerusi yang biasa ditandingi DAP pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) Sarawak.
Namun Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan,
pembahagian kerusi itu masih boleh dibincangkan sebelum DUN negeri itu
dibubarkan.
"Biasalah mana-mana pilihan raya kita bincang, yang penting kita mahu
prinsip 1 lawan 1 diteruskan," kata Azmin yang dipetik The Malaysian
Insider.
Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, parti
itu akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP.
Katanya keputusan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
tersebut - 9 kawasan lama, 2 kawasan baharu hasil persempadanan semula -
dibincangkan bersama PKR kerana mereka masih mempunyai hubungan, tetapi
tidak dengan DAP.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau
mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar penamaan calon
PRN itu dilakukan pada 18 April dan hari pengundian pada 30 April.
Bercakap lebih lanjut, Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata,
PKR sudah berbincang dengan PAS mengenai perkara itu dan akan turut
meneruskan perbincangan dengan DAP bagi memastikan prinsip 1 lawan 1
dikekalkan.
Mengulas halangan imigresen terhadap beberapa pemimpin PKR daripada
menjejakkan kaki ke Sarawak, Azmin berkata tindakan itu tidak akan
merencatkan persediaan parti tersebut untuk bertanding.
"Walaupun jasad (mereka) tak masuk (Sarawak) tetapi semangat (mereka) masuk," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan laluan
baharu PJ City Bus di Stesen LRT Taman Bahagia Petaling Jaya, pagi ini.
Sebelum ini, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menjadi pemimpin
pembangkang terbaharu yang dihalang memasuki Sarawak apabila beliau
ditahan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha, yang sedang dalam perjalanan bersama Zuraida dibenarkan masuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan